ULASAN | Di Malaysia,
merokok bukan hak. Merokok merupakan sebahagian daripada budaya
masyarakatnya, terutama di restoran mamak dan warung-warung. Budaya
begini sudah wujud lama—bahkan boleh dikatakan perkembangan perniagaan
premis makan terbuka menjadi begitu unik disebabkan oleh orang yang
berkumpul, nongkrong sambil sebahagiannya merokok.
Selalunya kawasan dalam restoran ‘dikhaskan’ kepada mereka yang tidak merokok. Di kawasan luarnya, kepada mereka yang merokok.
Jarak ruang dalam berbanding kawasan luar yang terbuka, tak perlu diukur dengan tali ukur sama ada tiga meter atau kurang, seperti jarak yang ditetapkan kementerian kesihatan hanya tiga meter sahaja.
Kalau angin bertiup ke arah anak kecil, misalnya, jarak tiga meter pun boleh terkena pada anak tersebut.
Maka faktor tiupan angin—yang tidak wujud dalam peraturan kementerian kesihatan—juga diambil kira. Begitulah hebatnya masyarakat yang berdiri dengan otak yang tak mati, yang membentuk apa yang saya sebutkan sebagai “budaya.”
Budaya
membentuk keteraturan”, dan bukannya “peraturan”. Peraturan yang
bertulis, yang nampak teratur atas kertas—walaupun bagaimana besar pun
denda yang dikenakan—selalunya pula membuatkan masyarakat tidak teratur.
Masyarakatlah yang mengharmonikan diri mereka sendiri, dan bukannya
undang-undang.
Lebih-lebih lagi kepada peminat bola sepak. Mungkin bukan kerana mereka tidak ada televisyen di rumah, tapi menonton bola bersama kawan-kawan lebih memuaskan selepas anak-isteri berehat atau lena di rumah.
Saya percaya menteri kesihatan tidak menjiwai semua budaya dan keteraturan yang telah wujud dalam masyarakat kita. Konsep “rahmatan lil alamin” bagi menteri dan pemimpin kerajaan baru ini bererti membela mereka yang tidak merokok sahaja. Sementara perokok wajib dihukum, disisih atau diketepikan sama sekali!
Sistem budaya terganggu
Sebenarnya apa yang disisihkan atau dihukum bukanlah perokok, tapi budaya dan sikap tolak ansur yang telah menjadi sebahagian keunikan dan kekuatan masyarakat. Walaupun ada juga perokok yang tak faham bahasa, biadab dan menghembus asap ke muka anak kecil atau ibu mengandung, kes sedemikian tentunya kes terpencil.
Sama jugalah kes-kes terpencil di mana ada yang meludah sesuka hati di restoran. Kelakuan begitu lebih menjijikkan—dan kalau perlu undang-undang, maka undang-undang larangan meludah di restoran adalah lebih perlu!
Budaya tahu segan dan saling-menghormati di dalam masyarakat ini juga boleh di lihat sampai ke kenduri-kendara. Selepas yasinan, ada yang berpindah ke anjung atau tangga rumah untuk merokok walaupun tiada larangan merokok dalam ruang tamu rumah.
Di awal pembentukan Malaysia, dalam dewan rakyat pun ketika berbahas, perdana menteri, menteri dan ahli-ahli parlimen boleh merokok. Sekurang-kurangnya tiga-empat orang perdana menteri terawal di negara ini adalah perokok—selain mereka juga tidak malu-malu menari.
Sebagai
contoh, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj seorang perokok. Sebelum
beliau, Onn Jaafar yang berjuang memerdekakan Tanah Melayu juga seorang
perokok. Merokok tidak menjadikan mereka kurang sebagai seorang pemimpin
dan pejuang.
Tunku Abdul Rahman tidak terlibat dengan kes 1MDB, atau Razak Hussein pun tidak sampai tergamak menyelamatkan syarikat anak atau kroninya ketika negara dilanda krisis parah seperti 13 Mei 1969. Semua pemimpin yang merokok—dan juga menari itu—dikenang bukan sahaja sebagai pejuang, tetapi pemimpin yang kasihkan rakyatnya—dan tidak kiralah rakyatnya itu perokok atau tidak.
Lihatlah! Sejak Malaysia diambil alih oleh PM yang tidak merokok, keadaan demokrasi di negara ini pun semakin menguncup. Kebejatan politik termasuk rasuah besar-besaran dilakukan termasuk oleh menteri dan PM yang tidak merokok.
Saya percaya, ada pegawai tinggi di kementerian kesihatan juga perokok. Dia punya ‘hak’ merokok kerana dia pegawai tinggi, atau mungkin juga pemimpin politik berjawatan. Maknanya, orang biasalah yang akan menjadi mangsa pertama larangan merokok, dan bukannya pegawai tinggi atau menteri. Begitulah munafiknya masyarakat ini bakal terbentuk nanti.
Keadaan ini samalah dengan hukuman hudud seperti yang dicadang oleh PAS yang akan menghukum rakyat biasa—sementara elit dan raja akan terlepas. Begitulah munafiknya apabila golongan LGBT pun diberikan hak, tapi perokok disisihkan!
Bayangkan...
Bayangkan kalau mereka tidak lagi mahu bekerja dan apatah lagi mengundi Pakatan Harapan, kesemua pilihan raya kecil ke depan—termasuk di Cameron Highlands—maka PH akan kalah. Pasti kalah!
Semua ini tidak dilakukan kerajaan PH. Rakyat tidak bodoh dan sedang memerhatikan. Apabila PH dijangka kalah, mereka kalah bukan kerana rakyat menyukai BN, tetapi kerana yang diharapkan lain, lain pula yang dilakukan.
Apa yang diharapkan ialah memulihkan ekonomi, melaksanakan manifesto dan membela masyarakat bawah, namun yang dilakukan mewujudkan kemunafikan serta membunuh budaya tolak-ansur yang telah wujud sekian lama di dalam masyarakat ini. Budaya itulah yang sebenarnya menjadi rahsia kekuatan Malaysia.
Bukannya menteri yang di tangannya seolah-olah ada belantan besi. Megah dengan kekuasaan. Galak memukul masyarakat.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan