HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

Yadim: Lantikan politik PH persis janji orang munafik


Oleh Athirah Huda Zalhe
 

Bolot jawatan GLC, agensi kerajaan bukti kerakusan puak Islam PH kutip hasil rampasan perang pasca kemenangan PRU14: Pemuda Isma




BANGI– Tidak sampai setahun memerintah, janji manifesto Pakatan Harapan yang kononnya tiada lantikan politik untuk jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan telah disampahkan, persis janji orang munafik, kata Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Farid Hussin.

Beliau berkata, polemik pelantikan ahli-ahli politik sebagai anggota lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bukti kerakusan puak Islamis PH mengutip ghanimah (harta rampasan perang) pasca kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, satu persatu jawatan di GLC dan agensi kerajaan ‘dihadiahkan’ kepada pejuang parti-parti komponen, walaupun ramai lagi individu lain yang lebih layak dalam kalangan teknokrat, ahli akademik atau golongan agamawan.

“Dahulunya mereka inilah yang bersungguh-sungguh membongkar skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan terdahulu dan kononnya merekalah yang paling suci dan berintegriti, ironinya sekarang puak ini juga yang rakus merebut segala posisi dan kedudukan yang ada, mengalahkan pahlawan yang mengumpulkan harta ghanimah selepas perang.

“Malah, lebih tamak jika dibanding dengan kerajaan terdahulu sehingga mahu membolot hampir kesemua jawatan yang ada tanpa mengira kesan buruk kepada institusi-institusi berkenaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sejak kelmarin, isu pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim kecoh di media sosial apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mengesahkan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, Sheikh Omar Ali untuk mengisi salah satu jawatan berkenaan.

Bukan sahaja pelantikan wakil rakyat Paloh itu dipertikaikan, bahkan kesemua lantikan dalam agensi di bawah kerajaan itu dipersoalkan oleh ramai pihak kerana didominasi individu yang mempunyai kaitan politik.

Enam individu dari Parti Amanah Negara (PAN) iaitu Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz; timbalannya, Zolkharnain Abidin; Datuk Abdul Ghani Shamsuddin; Ahmad Sayuti Bashiron; Shamsul Ma’arif Ismail dan Maznah Daud.

Dua lagi membabitkan wakil PKR iaitu Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan seorang wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Samsu Adabi Mamat dan seorang wakil DAP, Adun Paloh, Johor Sheikh ‘Umar Bagharib Ali.

 Turut dilantik sebagai ALPA Yadim ialah wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim dan seorang ahli akademik, Dr Muhammad Razak Idris.

Mengulas perkara itu, Muhammad Farid berkata, lantikan ALPA seolah-olah kerajaan sudah ketandusan pakar, tokoh agama mahu pun ahli akademik lain yang lebih layak.

“Yang lebih memalukan, suatu badan yang sepatutnya mempertahankan dan mengembangkan dakwah Islam di tanah air, tanpa segan silu melantik wakil daripada parti rasis dan cauvinis DAP sebagai salah satu ahli pemegang amanah.

” Alang-alang, kenapa tak lantik terus al-fadhil Lim Guan Eng, ‘umar abd aziz era malaysia baru’? Barulah padan dengan dakyah rahmatan lil kafirin versi PH,” katanya.



Tiada ulasan: