PRK CAMERON | Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy mengarahkan siasatan berhubung pemasangan papan tanda mengenai projek pembangunan di tiga perkampungan masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands, semalam.
"Kami akan siasat apakah ia sabotaj dalaman atau kerja pihak luar untuk memberikan satu gambaran negatif terhadap Kerajaan Pakatan Harapan.
"Terdapat arahan yang ketat untuk tidak mempraktikkan kempen gaya BN yang menggunakan agensi kerajaan untuk mendorong rakyat atau kemungkinan melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Waythamoorthy juga merupakan menteri yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Semalam, Ketua Pengarah Jakoa, Ajis Sitin berkata pihaknya telah mengarahkan kontraktor terbabit untuk menurunkan papan tanda yang dipacak di Bertam Valley.
"Jakoa ingin menjelaskan bahawa papan tanda projek tersebut merupakan satu kesilapan yang tidak disengajakan.
"Pihak Jakoa mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf berkenaan perkara tersebut dan akan memastikan bahawa perkara sedemikian tidak akan berulang di masa hadapan," katanya.
Papan tanda tersebut yang tertera perkataan 'Harapan Baru Malaysia' dengan perkataan 'Harapan' diubah serupa dengan logo Pakatan Harapan.
Projek kerajaan pusat tersebut adalah sebahagian daripada usaha membaik pulih rumah dan tadika di beberapa kampung Orang Asli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan