HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Januari 2019

Batal ECRL: Azmin, Guan Eng sama-sama betul, kata Dr M

 
   

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan dua menterinya yang dilihat mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung keputusan pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, kedua-duanya mengeluarkan kenyataan yang betul, cuma masanya sahaja yang salah.

“Apa yang terjadi, kedua-duanya betul, tapi masa (membuat kenyataan) yang salah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mensyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dilaporkan terkejut dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bahawa kabinet memutuskan untuk membatalkan projek ECRL.

Azmin pada 26 Januari dilaporkan berkata pembatalan projek tersebut disebabkan bayaran faedah yang tinggi yang perlu ditanggung negara iaitu sehingga RM500 juta.

Belum muktamad

Kata Mahathir, laporan media terhadap kenyataan Azmin itu sebenarnya tidak tepat.

“Dia (Azmin) menjelaskan bahawa kita perlu mempunyai hubungan yang baik dengan China.

“Kerana China akan menjadi rakan kongsi kita, pasaran yang bagus untuk kita, dan sumber pelaburan asing yang baik,” katanya lagi.

Dr Mahathir menjelaskan setakat ini, tiada keputusan muktamad diputuskan berhubung projek tersebut.

“Kita patut beri masa kepada kedua-dua belah pihak (Malaysia dan China) untuk mengemukakan penyelesaian terhadap masalah tersebut,” tambahnya lagi.

“Sesetengah keputusan telah dibuat, tetapi sekarang kita kena cari penyelesaian yang lebih baik,” tambahnya lagi.

Ditanya tentang jangkaan bila pengumuman rasmi akan dibuat mengenai ECRL, Dr Mahathir berkata perkara tersebut terpulang kepada Lim.

“Kita serahkan kepada Lim Guan Eng untuk umumkan.

“Setelah dia selesaikan perbincangan (tentang projek tersebut), dia akan umumkan,” katanya lagi.


Tiada ulasan: