HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

Sekian lama menyepi, kini Kempen Beli Barangan Malaysia kembali

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani
Sekian lama menyepi, kini Kempen Beli Barangan Malaysia kembali
Peruntukan RM20 juta itu akan digunakan bagi menyediakan platform kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan. - Astro AWANI/Shahir Omar
 
 
PUTRAJAYA: Peruntukan RM20 juta daripada Kementerian Kewangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bakal menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia 2019 (KBBM).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata peruntukan itu akan digunakan bagi menyediakan platform kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan.

Katanya, ia bagi mendapatkan akses kepada pasar raya, gedung membeli-belah dan ekspo perdagangan supaya produk serta perkhidmatan syarikat tempatan dapat dipasarkan kepada lebih ramai pengguna di seluruh negara.
 
“Saya berharap agar peruntukan ini dapat digunakan untuk membantu pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan mengembangkan serta merancakkan industri barangan tempatan dan menggalakkan semua rakyat Malaysia membeli barangan buatan tempatan.

“Apabila rakyat beli barangan Malaysia, ia bukan sahaja akan membantu syarikat tempatan tingkatkan jualan, tetapi ia juga memberi impak yang positif kepada ekonomi negara.

“Pelaksanaan kempen ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran semua pihak untuk menggunakan barangan tempatan bagi mengurangkan import dan aliran keluar tukaran asing serta membantu menjadikan negara lebih makmur dalam ekonomi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan cek sebanyak RM20 juta kepada KPDNHEP bagi menggerakkan kempen ‘Beli Barangan Malaysia’, di sini pada Rabu.

Hadir sama pada sidang media tersebut adalah Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen.

Katanya, beliau yakin produk dan perkhidmatan yang ditawarkan anak watan ini boleh dibanggakan dan setanding dengan apa yang ditawarkan syarikat luar negara.

Sementara itu, Saifuddin berkata bagi memastikan pelaksanaan KBBM dilaksanakan secara komprehensif, inklusif dan berimpak tinggi, kementeriannya telah menggariskan beberapa inisiatif strategik serta cadangan pelaksanaan program.

"Kementerian berhasrat untuk membantu meningkatkan dan menyokong produk-produk buatan tempatan untuk disenarai tetap di pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan termasuk di stesen minyak serta di 304 kedai Inisiatif Kedai Ekonomi Rakyat (i-Keep) melalui penajaan dan insentif pengecualian yuran penyenaraian, promosi dan publisiti serta sewaan ruang dan rak jualan di pasar raya besar dan kedai-kedai serbaneka.

"Melaksanakan lebih banyak aktiviti pensampelan dan jualan produk tempatan di pasar raya besar tempatan dan asing di seluruh Negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kewujudan produk-produk buatan tempatan yang berkualiti," katanya. 
 
 

Tiada ulasan: