PETALING JAYA: Tanggapan Malaysia Baru yang menjadi sebutan ramai pasca pilihan raya 9 Mei perlu diubah kerana proses perubahan baru sahaja bermula, kata seorang ahli akademi di satu forum malam tadi.
Prof Madya Faisal S Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata wacana dan perdebatan ilmiah perlu diperbanyakkan untuk menjayakannya terutama mengenai masyarakat Melayu-Islam.
Beliau berkata demikian selaku penganalisis Persatuan Aliran Kesedaran Negara di forum Kajian Nadi Melayu: Nilai, Sentimen, Persepsi Melayu-Muslim, di Menara Suezcap malam tadi.
“Ya, kerajaan berubah, contohnya peguam negara yang dilantik bukan dari kalangan Melayu dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bukan ‘orang’ kerajaan, tapi Malaysia Baru masih dalam proses,” katanya.
Faisal menegaskan pendokong Malaysia Baru perlu bercakap dan fahami kekhuatiran masyarakat Melayu-Islam dan struktur politik masyarakat itu, dan dengan kefahaman itu menyakinkan para pengkritik.
“Kita kena faham kekhuatiran orang Melayu, tapi pada masa yang sama, kita kena ambil kira juga perubahan yang ingin dibuat dalam Malaysia Baru,” katanya.
Beliau mengulas sama ada Malaysia Baru yang sering disebutkan oleh Pakatan Harapan dan penyokong-penyokongnya akan berbalik kepada politik identiti yang akan menyebabkan masyarakat Melayu-Islam berasa terancam.
Faisal mengingatkan politik Malaysia yang mahu diubah itu sudah berakar umbi sepanjang 6 dekad lalu, dan “mustahil” untuk diubah secara keseluruhannya.
“Ada beberapa perkara yang boleh dibuat dengan cepat. Contohnya, beberapa pertukaran dalam agensi dan jabatan kerajaan, macam yang saya sebut tadi, SPR dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Wong Chin Huat dari Penang Institute pula mengingatkan pendokong Malaysia Baru bahawa kerajaan baru yang terbentuk selepas 9 Mei lalu hanya dipilih oleh 48% pengundi.
“Yang lebih itu, sokong Barisan Nasional dan PAS,” katanya.
Penganalisis politik itu bagaimanapun berkata kekhuatiran masyarakat Melayu-Islam terhadap kumpulan minoriti pengundi itu sesuatu yang perlu diperhatikan.
“Demokrasi adalah kumpulan majoriti yang buat keputusan. Sepatutnya golongan minoriti takut dengan majoriti tapi yang kita lihat, orang Melayu yang takut dengan minoriti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan