SEKALI lagi Menteri
Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuktikan bahawa beliau
sememangnya seorang teknokrat sejati yang berpandangan jauh. Di saat
para Menteri Pakatan berantakan sesama sendiri tentang status projek
Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Ahmad Samsuri sebaliknya mengajukan
satu demi satu usul penyelesaian konkrit demi kepentingan negara umumnya
dan Negeri Terengganu khususnya.
Hakikatnya, sejak Ogos 2018 lagi beliau
mengusahakan agar projek ECRL ini – yang digelar sebagai ‘Penyembelih
Singapura’ oleh media antarabangsa – tidak dibatalkan begitu sahaja oleh
Kerajaan Pakatan Harapan.
Menteri Besar daripada Parti Islam
Se-Malaysia (PAS) ini sebaliknya mencadangkan Kerajaan Pakatan agar
membuka tender baharu kepada syarikat tempatan atau luar negara yang
berminat untuk meneruskan projek yang cukup bernilai strategik itu.
Pertimbangan Dr Ahmad Samsuri ini amat
relevan lagi rasional memandangkan proses awal pelaksanaan projek ECRL
ini sudah pun berjalan – antaranya termasuklah pembinaan laluan, stesen,
terowong dan jambatan serta pengambilan alih tanah.
Memetik jawapan beliau kepada media pada
22 Ogos 2018 lalu: “…ada terowong sudah digali sejauh 50 meter dan pada
hemat saya, langkah menghentikan pelaksanaan projek ini satu kerugian,
sepatutnya boleh buat proses baru membuka tender kepada syarikat
tempatan untuk adakan kerjasama dengan luar negara pada kos munasabah”.
Terbaharu, Dr Ahmad Samsuri tidak sama
sekali bertindak mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh
apabila percanggahan terbuka meletus antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi
Dato’ Seri Azmin Ali dengan Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng berhubung
penamatan kontrak ECRL dengan kontraktor utama China, China
Communication Construction Company Ltd (CCCC).
Sebaliknya, Menteri Besar Terengganu ini
– yang memiliki latar belakang profesion pakar aeroangkasa –
mengusulkan supaya skala projek ECRL ini diubahsuai berdasarkan
kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan. Seperti mana menurut beliau:
"Saya sedar kekangan bagi projek yang sangat positif ini adalah faktor
kewangan, jadi di peringkat Persekutuan wajar untuk mempertimbangkan
pelaksanaan ECRL dengan skala lebih kecil supaya objektif awal
pembangunannya tercapai".
Sesungguhnya, jika Kerajaan Pakatan
menamatkan sepenuhnya projek ECRL tanpa mempertimbangkan kesemua usul Dr
Ahmad Samsuri ini, maka impak negatif ke atas prospek jangka panjang
ekonomi dan kepentingan strategik negara tidak dapat dielakkan lagi.
Dalam situasi keyakinan pelabur yang masih belum pulih, sebarang
keputusan yang tidak bijak melibatkan ECRL akan merudumkan lagi imej
serta reputasi kita.
Demikian juga dari segi impak ke atas
pembangunan jangka panjang serta pengurangan jurang antara wilayah
Pantai Timur dengan Pantai Barat. Peluang negeri-negeri Pantai Timur
untuk melonjakkan Keluaran Negara Kasar mereka sebanyak 1.5 peratus akan
terhapus. Peluang negeri-negeri Pantai Timur untuk memangkin ekonomi
penduduk setempat di sepanjang laluan terlibat serta menjadikan ECRL
sebagai mod pengangkutan penting bagi komoditi akan terjejas teruk.
Dari perspektif prospek kepentingan
strategik negara juga, perancangan jangka panjang untuk memanfaatkan
pemindahan teknologi dari China juga berpotensi terjejas. Antara yang
turut menjadi perhatian ialah rancangan kolaborasi ‘Diplomasi Kereta
Api’ Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke dengan CRRC China untuk
menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran peralatan kereta api di
rantau Asia Tenggara.
aling kritikal tentulah peluang untuk
kita memecahkan dominasi sekian lama Singapura dalam kegiatan aktiviti
maritim dunia. Sangat tidak bijak sekiranya Kerajaan Pakatan bertindak
melepaskan peluang ini: perkiraan jelas menunjukkan bahawa pemindahan
kargo sebesar satu tan dari Shenzhen, China ke Pelabuhan Klang melalui
Kuantan-ECRL hanya memakan masa selama 135 jam dengan kos sebanyak USD56
Dollar berbanding laluan Singapura yang memakan masa selama 165 jam.
Perlu diingat, lebih separuh daripada
muatan tanan armada perdagangan tahunan melalui pusat yang sempit di
Selat Melaka, dan ia membentuk satu pertiga daripada keseluruhan trafik
maritim di seluruh dunia.
Minyak yang diangkut menerusi Selat
Melaka dari Lautan Hindi, dalam perjalanan ke Asia Timur melalui Laut
China Selatan, adalah sebesar tiga kali ganda berbanding jumlah yang
melalui Terusan Suez dan lima belas kali ganda jumlah yang transit di
Terusan Panama.
Realitinya, China pada hari ini sahaja
sudah benar-benar terdesak untuk mendapatkan tenaga yang baharu.
Simpanan minyak yang dikawal Beijing pada 2014 hanya berjumlah 1.1
peratus daripada jumlah simpanan minyak dunia, sedangkan penggunaan
minyaknya adalah berjumlah lebih daripada 10 peratus pengeluaran minyak
dunia manakala penggunaan tenaganya adalah lebih daripada 20 peratus
kesemua penggunaan tenaga di dunia.
Saat ini sahaja 80 peratus daripada
keseluruhan import minyak China adalah melalui Selat Melaka – hinggakan
bekas Presiden China Hu Jintao pada 2003 memperkenalkan istilah ‘Dilema
Melaka’.
Penggunaan tenaga di negara-negara Asia
yang sedang membangun dijangka akan meningkat sebanyak dua kali ganda
menjelang tahun 2030 nanti – separuh daripada pertumbuhan terbabit
adalah dari China.
Terbukti, lonjakan permintaan dalam
tempoh beberapa tahun ini pastinya menjanjikan peluang besar kepada ECRL
– apatah lagi dalam keadaan hubungan Singapura-Beijing yang semakin
hari semakin dingin.
Maka jelas anggaran penggunaan kargo
ECRL yang dijangka mencecah 60 juta tan setiap tahun nanti adalah
realistik – ditambah pula berdasarkan ‘trend’ permintaan import tenaga
dari China yang dijangka akan meningkat berlipat kali ganda menjelang
tahun 2030.
Ringkasnya, usul yang dicadangkan
Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk menyelamatkan
projek ECRL demi kepentingan strategik negara ini wajib dipertimbangkan
sedalam-dalamnya oleh Kerajaan Pakatan. Ketepikanlah perbezaan politik,
buanglah pemikiran berasaskan Kapitalis-neoliberal yang mementingkan
untung rugi jangka pendek semata-mata. Sebaliknya, contohilah pendekatan
teknokrat Dr Ahmad Samsuri yang berorientasikan kepentingan strategik
negara untuk jangka masa panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan