HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

MASZLEE : JANGAN BERETORIK – KHALID NORDIN

Wartawan Watan-Online

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek tidak perlu menyampaikan aspirasi bersifat retorik dan perlu segera menyelesaikan isu kritikal dalam pendidikan di Malaysia terutamanya aspek pendidikan tinggi negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ucapan Amanat Menteri Pendidikan 2019 lalu dilihat memandang sepi senario ketidaktentuan pendidikan tinggi negara seperti isu autonomi universiti awam yang masih belum jelas.

Katanya kemajuan usaha kerajaan terdahulu untuk menyelesaikan isu autonomi universiti dilihat terbantut dengan tindakan-tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggap membelakangkan kebebasan autonomi yang dirancang sebelum ini.

“Yang nyata, banyak sekali pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah, Ahli-Ahli Lembaga, Naib Canselor serta pegawai tinggi IPTA yang dilakukan berdasarkan pertimbangan politik dan membelakangkan autonomi universiti untuk melakukan proses pelantikan yang telus, bertanggungjawab dan berwibawa,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Khaled Nordin berkata Maszlee turut gagal menjelaskan mekanisme kewangan pendidikan untuk dinikmati orang ramai walaupun mengenegahkan isu mengenai pendidikan untuk semua dan pendidikan sepanjang hayat.

Katanya menteri pendidikan tidak menyatakan halatuju PTPTN dalam menjadi institusi pembiayaan pendidikan tinggi utama negara yang diperlukan oleh rakyat untuk melanjutkan pelajaran.

“Akses dan ekuiti tanpa PTPTN adalah cita-cita mustahil untuk dilaksanakan. Tidak sedikitpun disebut, diulas atau dinyatakan apakah pelan dan rancangan kementerian kepada pTPTN dalam konteks hala tuju pendidikan Malaysia.

“Atau memang menteri tidak mahu mendepani kegagalan kerajaan PH menunaikan segala janjinya berkaitan PTPTN yang sehingga saat ini, gagal dilaksanakan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Khaled turut menasihati Maszlee untuk berhenti beromantisisme mengenai impian lampaunya dan segera bertindak menyelesaikan segala masalah dalam bidang pendidikan yang dilihat tidak mendatangkan kemajuan signifikan selepas kerajaan PH mentadbir negara.

“Malaysia memerlukan penyelesaian paling komprehensif terhadap pendidikan anak bangsanya, bukan mendengar cerita tentang cita-citanya Maszlee sewaktu remajanya mahupun menyaksikan pemaparan cerita sentimentalis menteri dengan bekas gurunya hingga bercucuran air mata keduanya.

“Lakukan aksi “romantisisme” di kelainan acara dan bukan dalam kesempatan yang wajar untuk mengungkapkan misi nasional yang lebih segar untuk pendidikan bangsa, putera dan puterinya,” tegas Khaled.


Tiada ulasan: