HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Januari 2019

Manogaran catat rekod kalah hatrik di Cameron Highlands

Kumara Sabapatty

xMGF19012019_CALON-PH-ISU-PARKING02-681x454
M. Manogaran


CAMERON HIGHLANDS – Calon DAP Pakatan Harapan, M. Manogaran mencipta rekod hatrik tersendiri apabila kalah kali ketiga di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Kecil yang selesai hari ini.

Manogaran yang menerima saingan dari calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor, dan dua lagi calon bebas memperolehi sebanyak 8,800 undi.

Walaupun pernah tewas dua kali di kerusi sama dalam dua PRU lalu, Manogaran jelas tidak sanggup mengaku kalah dengan terus memburu kerusi itu tanpa memberi peluang kepada calon lain dalam parti DAP.

Calon BN Ramli juga berjaya membantu BN mempertahankan kerusi yang disandang parti itu sejak PRU 11 tahun 2004 lagi.

Lebih manis lagi Ramli berjaya menambah majoritinya 3238 undi berbanding keputusan Sivarraajh pada 9 Mei lalu.

Penjumlahan rasmi selepas penjumlahan 70 daripada 89 peti undi menyaksikan Ramli sudah mendahului Manogaran dengan majoriti 5,958 undi.

Ramli memperolehi 12,038 undi manakala Manogaran memperolehi 8800 undi, Sallehudin Ab Talib 314 undi dan Wong Seng Yee 276 undi.

Sebanyak 568 undi ditolak dan 68.79 peratus telah keluar mengundi pada prk hari ini.

Sebelum ini Manogaran pernah mencuba nasibnya menentang Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel pada PRU 13 sebelum tewas kepadanya.

Manogaran sekali lagi bertanding di kerusi sama melawan Naib Presiden MIC Datuk C. Sivarraajh pada PRU14 lalu namun ketamakannya memakan diri dengan tewas sekali lagi pada 9 Mei lalu.

Keputusan rasmi yang disemak dan disahkan telah diumumkan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis merupakan Pegawai Pengurus PRK Cameron kali ini.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya, 30 November lalu, mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan untuk lima tahun akan datang.

Pada PRU14 lalu, Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan M. Manogaran dari PKR (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari Pas (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari PSM (680 undi).

PRK kali ini adalah yang kelima selepas PRU14 9 Mei lalu dengan tiga daripadanya adalah DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong serta sebuah Parlimen Port Dickson.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: