HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2019

Suntikan semangat untuk BN dan PAS, pengajaran buat PH

 
   
ULASAN | Keputusan PRK Cameron Highlands semalam menunjukkan satu perkara dengan jelas - walaupun kerajaan pusat sudah bertukar tangan, para pengundi masih selesa bersama BN.

Seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya semalam, calon BN menang dengan 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan daripada DAP M Manogaran yang meraih 8,800 undi. Dua calon Bebas Salehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 dan 276 undi.

Ini merupakan PRK pertama yang tidak menyebelahi PH selepas Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.

Bukan itu saja, BN berjaya meningkatkan majoriti daripada 597 undi pada PRU ke-14 kepada 3,238 undi.

Gabungan itu juga menang di semua 12 pusat daerah mengundi.

PH berjaya meningkatkan undinya di kalangan Orang Asli tetapi ia ternyata tidak memadai.

Keputusan itu menunjukkan ada yang tidak kena dengan strategi kempen PH - antaranya adalah kesesuaian M Manogaran sebagai calon dan bagaimana gabungan itu menangani isu berkaitan Melayu.

Manogaran boleh dikatakan bertuah kerana tetap diberi peluang bertanding walau sudah dua kali tewas di kawasan parlimen itu.
Manogaran selepas keputusan diketahui
Bukan saja menteri-menteri berkempen untuknya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut ke Cameron Highlands sehari sebelum hari mengundi. Sesuatu yang tidak berlaku dalam PRK sebelum ini kecuali di Port Dickson.

Tetapi Manogaran dan jentera kempen PH di Cameron Highlands mensia-siakan kelebihan itu.

Dibandingkan dengan calon BN Ramli Mohd Nor, Manogaran tampak tidak memahami sentimen akar umbi.

Jurang beliau dengan penduduk di situ dilihat ketara melalui bahasa tubuhnya. Beliau kurang berbual dan beramah mesra ketika berkempen.

Manakala BN membuat percaturan tepat dengan mengorbankan MIC yang secara tradisi bertanding di kawasan itu dengan pertama kali meletakkan calon dari kalangan Orang Asli. Golongan itu membentuk hampir suku daripada jumlah pengundi di Cameron Highlands.

Bukan anggota mana-mana parti BN, Ramli tiada 'beban politik'. Sebagai bekas pegawai kanan PDRM, anak tempatan dari suku Semai itu boleh dikatakan dihormati penduduk.

Percaturan BN tepat

Satu lagi faktor yang membawa kepada kemenangan BN adalah isu yang dibawa kedua-dua gabungan kepada pengundi Melayu. Berbanding PH, isu yang disuarakan BN lebih disambut pengundi Melayu.

Ia sekali lagi menunjukkan keresahan orang Melayu pascaPRU ke-14 benar-benar wujud. Kerjasama antara PAS dengan BN - terutama Umno - menjadi medium utama keresahan itu disuarakan.

Dalam kempen, pembangkang bijak menyuntik isu dari perspektif kaum di kalangan pengundi Melayu di kubu kuat BN dan kubu PAS di Jelai, antaranya isu kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Seafield.
Kehadiran di ceramah BN dan PAS di Jelai
PH sebenarnya mampu mengubah pandangan pengundi jika ia ditangani dengan berkesan.

Apa-apa pun, ia boleh dianggap sebagai amaran awal buat PH berkenaan perkara itu menjelang PRK DUN Semenyih nanti. Di sana, PH melalui Bersatu bakal berdepan kerjasama Umno dan PAS yang lebih erat.

Faktor Najib juga gagal ditangani dengan baik oleh pemimpin PH. Kedudukan bekas perdana menteri itu kini bukan lagi seperti sebelum PRU ke-14. Beliau bukan lagi mengemudi BN dan media sosial sedikit-sebanyak berjaya memulihkan imejnya.

Justeru tindakan menyerang Najib dan 1MDB yang dibuat segelintir pemimpin PH tidak memberi kesan yang sama lagi seperti dulu.

Antara Tanah Rata dan Jelai

Parlimen Cameron Highlands terdiri daripada dua DUN - Jelai dan Tanah Rata. Ramai yang tidak tahu bahawa jarak di antara dua DUN tersebut merupakan kira-kira 90 kilometer iaitu mengambil masa satu jam setengah perjalanan.

Keadaan Jelai panas terik, tidak sedingin Tanah Rata yang terkenal dengan ladang teh dan strawberinya.

Jelai - kawasan DUN Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail - pula dikenali dengan tembikai wangi dan ladang kelapa sawit yang dimiliki peneroka Felda.
Dalam PRK kali ini, pemimpin kanan PH kebanyakannya menumpukan perhatian di Jelai memandangkan ia merupakan kawasan majoriti Melayu dengan kira-kira 3,000 pengundi Felda.

Tetapi malangnya penduduk di sana belum dapat menerima Manogaran dengan terbuka. Janji PH untuk membangunkan Jelai yang agak ketinggalan tidak diendahkan.

Tanpa kemudahan asas dan lampu jalan raya di kawasan pedalaman, penduduk di situ nampaknya masih berpuas hati dengan BN yang sekian lama mentadbir negeri itu.

PRK kali ini pastinya menyuntik semangat yang sangat diperlukan oleh BN - dan juga PAS - sebagai pembangkang untuk beberapa tahun lagi.

Bagi PH pula, ia sebagai pengajaran tentang bagaimana menangani isu-isu Melayu dan beberapa kelemahan yang dikaitkan dengan pentadbirannya.

*YASMIN RAMLAN ialah wartawan Malaysiakini.

Tiada ulasan: