HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2019

Didakwa wujudkan peluang rasuah, Guan Eng jawab isu mySalam

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani
Didakwa wujudkan peluang rasuah, Guan Eng jawab isu mySalam
GUAN ENG: Bantuan RM8,000 itu merupakan bantuan kepada pesakit dalam kategori B40 yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. - Bernama
 
 
PUTRAJAYA: Bantuan kewangan kepada golongan B40 menerusi Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) akan dibayar terus kepada pesakit dan bukan hospital.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan bantuan RM8,000 itu merupakan bantuan kepada pesakit dalam kategori B40 yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Beliau sekali gus menafikan kononnya skim tersebut bakal membuka ruang rasuah.
 
"Di sini saya tidak lihat mengapa ini dipersoalkan dan mereka tanya kos, tak ada kos. Kita akan bayar terus kepada pesakit dan tidak akan dibayar ke hospital kerajaan pun.

"Tentu ada yang sebut, kalau macam ini, semua akan duduk hospital kerajaan, tapi ini hanya untuk B40. B40 mana mampu pergi hospital swasta, jadi tidak ada sebarang perubahan," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Kumpulan doktor dan pesakit membangkitkan isu tersebut kononnya ia membuka ruang kepada rasuah termasuk dari segi penyaluran wang dan pemilihan tender syarikat pembekal ubat.

Antara yang membangkitkan isu tersebut adalah bekas presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Milton Lum yang mendakwa skim itu bukan sahaja akan menyebabkan kesesakan di hospital awam selain isu yang bakal membawa kepada amalan rasuah.

Selain itu, Presiden MMA Dr Mohamed Namazie Ibrahim pula berkata mySalam tidak mapan dalam jangka panjang kerana model pembiayaannya.

Katanya, insurans kesihatan swasta bukanlah satu kaedah yang baik untuk pembiayaan kerana ia bermotifkan keuntungan dan tidak mempunyai liputan universal.

Presiden Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (Scan) pula menegaskan tuntutan sekaligus RM8,000 itu tidak mencukupi untuk rawatan kanser walaupun di hospital awam. 
 
 

Tiada ulasan: