HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2019

Anak syarikat China mohon maaf tindakan pekerja bunuh anjing


Beberapa pekerja dirakam mendera serta membunuh seekor anjing 
menggunakan tukul dan air panas.

PETALING JAYA: Sebuah syarikat pembuatan keluli memohon maaf atas tindakan pekerjanya yang dirakam mendera dan membunuh seekor anjing dalam klip video tersebar di media sosial.

Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Guangxi Beibu Gulf Iron and Steel Co Ltd dari China berkata, pihaknya memandang serius tindakan pekerjanya yang bertentangan budaya Malaysia.

Katanya, siasatan akan dijalankan dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap pekerja yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam kejadian itu.

“Alliance Steel (M) Sdn Bhd ingin memohon maaf bagi pihak kakitangan kami.

“Syarikat ini menitikberatkan pendidikan kepada kakitangan asing kami mengenai budaya di Malaysia supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku dan mengikut moto syarikat ‘Dalam Malaysia, untuk Malaysia’.

“Anda semua diminta bersabar dan menunggu berita daripada kami,” kata syarikat itu dalam kenyataan di Facebooknya kelmarin.

Jumaat lalu, 2 rakaman video menunjukkan 3 pekerja kilang itu mendera dan membunuh seekor anjing hitam tersebar di media sosial.

Video yang dimuat naik seorang pengguna bernama John Gan ke akaun Facebooknya berkata, kejadian itu berlaku di sebuah kilang di Kuantan.

Dalam klip video pertama selama 3 minit 49 saat, 3 pekerja dilihat mengikut anjing itu yang sedang meronta-ronta. Seorang daripada pekerja itu dipercayai menggunakan tukul memukul anjing berkenaan.

Dalam klip video ke-2 selama 31 saat, pekerja terbabit dilihat mengeluarkan organ dalaman anjing terbabit.

Tiada ulasan: