Sebuah kilang kondom yang berpangkalan di Selangor didakwa memberi layanan tidak adil terhadap pekerja asing, menurut satu laporan antarabangsa.
Menurut laporan The Telegraph yang berpengkalan di UK, pekerja di syarikat itu yang terdiri daripada warga Nepal dan Bangladesh menerima gaji rendah dan kemudahan yang tidak mencukupi.
Salah seorang pekerja yang ditemubual mendakwa dia hanya memperoleh gaji RM1,026 sebulan selepas bekerja selama lapan jam sehari dan enam hari seminggu.
Menurut The Telegraph, mereka menemubual 22 pekerja Nepal dan Bangladesh yang bekerja di kilang-kilang Karex di Pontian, Senai dan Pelabuhan Klang yang kemudian menceritakan nasib yang menimpa mereka.
Seorang pekerja yang dikenali sebagai Mahesh Thapa berkata, dia meninggalkan kedua-dua anaknya di Kathmandu, Nepal untuk bekerja di kilang kondom terbesar di Malaysia itu dua tahun lalu.
Namun menurut Mahesh dia kini bimbang kerana hanya dibayar RM6 setiap jam dan pendapatan yang diperolehi tidak cukup untuk menampung keluarganya.
"Saya mempunyai keluarga, dan saya perlu makan dan hidup di sini. Tanpa kerja lebih masa saya tidak dapat menyara mereka. Apa yang perlu saya lakukan?"Mahesh dipetik sebagai berkata.
Mahesh berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana sekiranya mengambil keputusan berhenti, dia perlu membayar denda sebanyak tiga bulan gaji kerana melangar kontrak selama tiga tahun.
Mahesh juga mengatakan dia terpaksa berhutang apabila meminjam wang untuk membayar kepada agensi yang membantunya mendapatkan pekerjaan di Karex.
Akhbar itu mendakwa beberapa pekerja Karex di Pontian, Johor ditempatkan sehingga 12 orang di sebuah asrama tanpa kemudahan asas mencukupi dan dikehendaki membayar sebanyak RM50 sebulan
"Kadang-kadang ada ular berbisa," kata seorang pekerja Karex seperti dilapor The Telegraph.
Selain itu laporan itu juga menyebut mengenai isu keselamatan membabitkan pekerja di Karex.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan