KUALA LUMPUR:
Usul pindaan melibatkan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan
dibimbangi terdapat agenda besar yang ingin dicapai oleh pihak-pihak
tertentu, demikian disuarakan Dato' Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat).
Jelas beliau, mereka itu cuba
memainkan sentimen, melahirkan kecurigaan, kebimbangan dan rasa tidak
puas hati, bahkan juga kebencian dalam kalangan rakyat.
Katanya, perjanjian dibuat
para pimpinan terdahulu tentunya telah dibuat dengan penuh semangat
perpaduan dan Persekutuan, di mana merungkaikannya perlulah dibuat
dengan ketelitian.
Jangan dibuat hanya kerana janji Manifesto
PH dalam pilihan raya lalu, sedangkan hari ini telah terbukti bahawa ia
telah dibuat dengan terburu-buru tanpa kajian dan 'very unrealistic at the very best'. Apatah lagi kiranya pindaan ini ada agenda-agenda lain yang lebih besar.
"Kalau ia dituntut untuk
membawa keadilan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, maka saya sangat
menyokongnya. Keadilan mesti diberikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
Bahkan keadilan sama kita perlu panjangkan kepada rakyat di Persekutuan
Tanah Melayu ini.
"Apa dalam perjanjian sedia
ada, baik terhadap Sabah dan Sarawak bahkan Persekutuan Tanah Melayu
mesti ditunaikan. Kalau Sabah dan Sarawak dapat menikmati hasil royalti,
negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu juga perlu ditunaikan bayaran
royaltinya.
"Terima kasih kepada YB Menteri yang sangat
budiman dan sedang berusaha membayar royalti kepada Kerajaan Negeri
Kelantan. Cuma jangan ada yang menyanggah," ujarnya membahas usul itu di
Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
Beliau juga mengemukakan,
tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo,
maka rakyat di Kelantan juga mendambakan lebuh raya pertama di negeri
itu dan berharap kerajaan tidak melengahkannya.
Dato' Che Abdullah turut
menasihatkan supaya tiada lagi suara yang mempersoalkan sejarah negara
ini dan persetujuan awal pembentukannya, serta pindaan dibuat tidak
mengganggu-gugat kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa Melayu
dan Bahasa Melayu.
"Jangan ia menjadi asas atau permulaan
keretakan, kerenggangan apatah lagi perpecahan negara kita. Akan tetapi
biarlah menjadi permulaan penunaian tanggungjawab Persekutuan kepada
negeri-negeri atau wilayah bernaung di bawahnya, dan pindaan apa pun
sepatutnya memperkukuhkan negara untuk masa depan," ujar beliau.
Terdahulu, perbahasan sama
oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) turut dicelah oleh Che
Abdullah di mana beliau berharap Jawatankuasa Terpilih yang akan
membincangkan hal ini turut melibatkan semua wakil-wakil Persekutuan
Tanah Melayu. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan