LEBIH 1,000 penduduk Orang Asli berdepan bahaya apabila berlaku lima kejadian bukit runtuh dalam tempoh tiga bulan di Pos Tuel dan kampung sekitarnya, di sini.
Kesan daripada kejadian itu jalan antara Pos Hendrop dengan Pos Tuel sejauh 20 kilometer juga akan terputus hubungan.
Tinjauan mendapati, tiga daripada lima kejadian bukit runtuh serius dan hampir menutup laluan di jalan Pos Tuel.
Penghulu Pos Tuel, Halim Sharif, 54, berkata, kebanyakan pengguna khususnya penduduk di pos berkenaan dan kampung di sekitarnya bimbang dengan keselamatan mereka.
Katanya, setakat ini sudah ada lima kejadian bukit runtuh yang menutup separuh jalan dan ada kesan rekahan akan runtuh di beberapa lokasi.
“Kami bimbangkan keselamatan diri dan anak yang berulang alik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop setiap hari.
“Saya perhatikan kejadian bukit runtuh di kawasan terbabit sudah hampir menutup jalan dan menghalang laluan,” katanya.
Penduduk Orang Asli, Rita Mokhtar, 43, berkata, masalah bukit runtuh yang berlaku di sepanjang jalan itu boleh mengancam keselamatan pengguna.
Dia mahu kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian yang lebih merbahaya.
“Setakat ini belum ada kerja penyelenggaraan walaupun jalan berturap terbabit baru siap dibina pertengahan tahun lalu.
“Jalan itu sangat penting kepada penduduk Orang Asli untuk membawa keluar hasil pertanian termasuk getah beku yang akan dijual di bandar Gua Musang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan