HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 April 2019

BN bidas PH eksploitasi kanak-kanak jadi bahan kempen PRK Rantau

Khairy Jamaluddin (bertopi) menemani Mohamad Hasan (tengah, 
berbaju T putih) menghadiri program khidmat masyarakat di Tokong 
Guan Yin, Kuala Sawah, Rantau, hari ini.
 
SEREMBAN: Calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan membidas Pakatan Harapan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai bahan kempen bagi pilihan raya kecil Rantau, selepas gambar sekumpulan kanak-kanak dibawa ke pentas ceramah parti pemerintah itu, baru-baru ini tersebar.

“Gunakan kanak-kanak ini saya rasa tak boleh dan tak sesuai, tetapi terpulang pada SPR.

“Mengeksploitasi kanak-kanak tak berapa sesuai untuk dijadikan bahan kempen atau peralatkan mereka,” kata yang lebih dikenali sebagai Tok Mat pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau, hari ini.

Terdahulu, bekas perdana menteri, Najib Razak menerusi Facebooknya mempersoalkan tindakan calon PH, Dr S Streram mempelawa sekumpulan kanak-kanak yang memegang kotak pensel warna ke pentas ceramah parti itu di Taman Orkid, baru-baru ini.
“Kanak-kanak tak patut digunakan untuk kempen PRK. Lagipun pada waktu malam di atas pentas ceramah.

“Ini bukan sahaja tidak beretika, tetapi jelas melanggar undang-undang.” katanya bekas perdana menteri yang berkempen untuk Tok Mat di Rantau, sejak semalam.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula kecewa dengan tindakan PH mengeksploitasi kanak-kanak untuk PRK.

“Saya harap benda ini dapat dielakkan sebab ini adalah pentas politik. Sewaktu PRK, ia tidak sesuai untuk melibatkan kanak-kanak,” katanya selepas menemani Tok Mat menghadiri program khidmat masyarakat di Tokong Guan Yin, di Kuala Sawah, Rantau hari ini, yang turut dihadiri pemimpin MCA.

Dalam isu lain, Khairy menggesa semua pihak tidak mengadili Najib selagi mahkamah belum membuktikan ahli Parlimen Pekan itu bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa dihadapinya.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, perbicaraan kes Najib yang bermula Rabu lalu akan menyebabkan rakyat kembali membincangkannya dan pihak lawan akan menjadikannya modal untuk kempen PRK Rantau.

Oleh itu, beliau meminta jentera BN membuat penjelasan kepada rakyat bagi mengelakkan ia merumitkan keadaan di Rantau.

“Tidak ada sesiapa yang didapati bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Selagi mahkamah tidak putuskan apa-apa.

“Jadual perbicaraan (Najib) juga agak merumitkan kita di Rantau, tetapi kita tidak akan ambil mudah perkara ini. Kita kena bincang dan beri penjelasan kepada rakyat. Ini proses undang-undang yang akan mengambil masa.”

Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, satu dakwaan penyalahgunaan kuasa dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Tiada ulasan: