HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 April 2019

Untung RM1,500 sehari jual air ketum


Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

 


MAMPU menjual kira-kira 100 botol air ketum dan ‘menjana’ keuntungan sekitar RM1,500 sehari.Itu kegiatan mewah seorang lelaki warga Indonesia di Maran, sejak beberapa bulan lalu.

Namun kegiatan suspek yang berusia 25 tahun itu tumpas apabila dia ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sebuah rumah kedai di kawasan industri Bandar Jengka, di Maran, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abdul Rahman berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 petang itu turut merampas 170 botol air ketum.

“Ketika ditahan suspek dipercayai sedang menunggu pelanggannya dan terkejut ketika menyedari kehadiran polis.


“Hasil pemeriksaan di dalam premis berkenaan kita menjumpai 255 liter air ketum yang diisi ke dalam 170 botol yang setiap satunya mempunyai isipadu 1.5 liter.

“Siasatan kita juga mendapati suspek yang juga buruh ladang baru sahaja menjalankan aktiviti itu sejak beberapa bulan lalu,” katanya dalam sidang media di Maran, hari ini.

Beliau berkata, kawasan premis berkenaan mempunyai pagar dan difahamkan segala urusan jual beli hanya dilakukan di luar pagar berkenaan.

“Premis berkenaan sebelum ini dijadikan sebagai makmal pemprosesan air ketum dan serbuan pernah dilakukan pada Jun tahun lalu namun tiada sebarang tangkapan dibuat.

“Tahun ini kita mendapat maklumat premis berkenaan kembali aktif dan menjadi tempat penjualan air ketum, kita percaya makmal berkenaan sudah dipindahkan ke tempat lain dan air ketum yang sudah siap diproses dibawa ke situ untuk dijual,” katanya.

Norzamri berkata, semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

Katanya, kebiasaannya air ketum yang dijual itu sudah dicampur dengan beberapa bahan seperti ubat batuk, ubat nyamuk dan minuman berkarbonat malah ada juga dimasukkan dadah jenis heroin bagi menimbulkan rasa ketagih.

“Kita percaya air ketum berkenaan untuk pasaran sekitar Maran namun difahamkan ada pelanggannya yang datang dari luar daerah ini seperti dari Temerloh, Jerantut dan Bentong.

“Suspek kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, suspek juga turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di negara ini.

Dalam pada itu pihaknya turut mengesan seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang juga pengedar dan pemproses air ketum di daerah ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.

Tiada ulasan: