HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 April 2019

Dr Subra: PRK Rantau titik permulaan BN rampas Putrajaya

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Bekas presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata peluang untuk Barisan Nasional (BN) kembali menjadi kerajaan sangat cerah.

Menurut laporan Malaysiakini, PRK DUN Rantau akan menjadi titik permulaan untuk BN merampas semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah bekas menteri kesihatan itu juga menjangkakan calon BN pada PRK Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan bakal dipilih sebagai presiden Umno seterusnya dilantik sebagai perdana menteri sekiranya BN berkuasa semula.

“Dalam politik sentiasa ada perubahan. Kerajaan hari ini mungkin ditukar esok. Maka peluang BN kembali jadi kerajaan sangat cerah.

“Sekiranya BN menang (PRU15), Tok Mat yang kini pemangku presiden Umno yang kemungkinan akan dipilih sebagai presiden Umno seterusnya berpeluang diangkat sebagai perdana menteri,” beliau dipetik seperti berkata oleh Malaysiakini.

Justeru itu katanya adalah wajar bagi pengundi Rantau memilih Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat pada hari pengundian 13 April ini.

“Kemenangan dalam PRK ini adalah benih kepada Tok Mat menjadi PM. Untuk itu kamu perlu sokong Tok Mat.

“Kamu perlu faham ini dan buat yang sepatutnya,” tambah beliau.

Dr Subramaniam berkata demikian pada ceramah kelompok anjuran MIC di Kampung Baru Segga, Rantau semalam.

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon Mohamad Hasan serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

Tiada ulasan: