SHAH ALAM – Corak yang terhasil pada
model patung (mannequin) akibat hentaman pintu van Unit Bantuan
Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) mirip dengan kecederaan sagat dan lebam
pada dada allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Meskipun tidak 100 peratus sepadan namun
bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)
Profesor Dr Shahrom Abd Wahid yang menjalankan eksperiman itu
berpendapat ia boleh dianggap sama.
Oleh itu beliau percaya Muhammad Adib
ditarik dan mengalami kecederaan pada dada depan terlebih dahulu sebelum
dihentam sekali lagi sehingga tujuh rusuk kiri belakangnya patah.
“Kita hentakkan pintu pada model patung
dan pada masa yang sama ia ditarik keluar jadi kita dapat corak
sedemikian rupa (macam dalam gambar) kemudian kita padankan dengan
kecederaan pada dada kanan mangsa.
“Kita tolak sekuat hati objek ke pintu
EMRS dan menghasilkan corak yang berpadanan gambar ini (gambar dada
mangsa yang ada luka sagat).
“Jadi pada pendapat saya corak sebegini
lebih terhasil (mirip walau tak sempurna) seolah-olah hentaman daripada
pintu EMRS boleh menyebabkan kecederaan sebegini pada dummy,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini.
Shahrom yang hari ini dipanggil sebagai
saksi inkues kematian anggota bomba yang bertugas pada malam kejadian
rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman untuk hari kelima turut menolak
sekerasnya bahawa bahu jalan punca kepatahan pada rusuk kanan Adib.
Sebaliknya kesan luka yang dilihat sepadan dengan getah pada daun pintu EMRS.
“Saya cari objek lain yang boleh mengena tubuh masa yang menyebabkan kecederaan berbentuk seperti ini.
“Daripada lakonan (semula) (Polis Diraja
Malaysia) PDRM bahagian bahu jalan tidak sesuai. Kita ambil gambar pun
tak sesuai juga tidak padan langsung. Memang tidak padan langsung.
“Saya cari sepanjang-panjang bahu jalan
kalau ada tombol di bahu jalan, jadi sepanjang-panjang jalan saya tengok
tidak ada yang menonjol untuk menyebabkan luka sagat di tengah dada
yang bersesuaian dengan tombol getah,” menurut Shahrom.
Sebelum ini, Pakar Forensik Hospital
Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi berpandangan Adib dihentam
pintu van yang mengundur akibat ditolak jentera jentera Fire Rescue
Tender (FRT) kemudian jatuh ke bahu jalan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:
Catat Ulasan