HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 April 2019

Pahang mahu tuntut pampasan RM17.1 bilion daripada Pusat

ainaa syaza 

Kerajaan negeri hantar permohonan kepada PM untuk hapus kira pinjaman projek bekalan air luar bandar sebanyak 60 peratus: MB


KUANTAN – Kerajaan Pahang bercadang untuk mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pusat bagi mendapatkan pampasan kawasan hutan simpan dan hutan rezab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air yang disejahterakan oleh rakyat luar dari Pahang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia melibatkan kawasan seluas satu juta hektar yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos lepas yang tinggi.

“Sementara itu, bagi Empangan Kelau yang ‘dikorbankan’ untuk membekalkan air menerusi projek pemindahan air mentah Pahang Selangor (PPAMPS), kerajaan negeri kerugian hasil pembalakan, mineral, premium tanah sawit dan cukai tanah membabitkan kawasan seluas 33,000 hektar.

“Saya ingin tegaskan bahawa bagi kawasan hutan simpan yang digunakan sebagai kawasan tadahan air, kos melepas yang terpaksa ditanggung adalah sebanyak RM16.4 bilion, manakala untuk kawasan Empangan Kelau, kos melepas yang ditanggung adalah RM692 juta.

“Jadi jumlah keseluruhan kos melepas yang ditanggung ialah RM17.1 bilion, sehubungan itu kita akan berjumpa dengan Kerajaan Persekutuan untuk meminta jumlah ini ditolak daripada hutang kerajaan negeri sebanyak RM3.17 bilion,” katanya pada persidangan penggal kedua Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Datuk Khairuddin Mahmud (Barisan Nasional-Pulau Manis), yang bertanyakan sama ada kerajaan negeri bercadang untuk menuntut pampasan tertentu dari kerajaan pusat bagi menyelesaikan masalah hutang yang ditanggung sebelum ini.

Sementara itu, Wan Rosdy turut memaklumkan kepada anggota dewan bahawa kerajaan negeri juga telah menghantar permohonan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghapus kira pinjaman bagi projek bekalan air luar bandar sebanyak 60 peratus daripada jumlah pinjaman semasa.

Katanya, surat permohonan itu telah dikemukakan pada 25 Oktober tahun lalu dan untuk baki pinjaman kerajaan negeri yang tidak dihapus kira, akan diambil alih oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) .

“Sebagai balasannya, kerajaan negeri akan memindahkan aset tak alih yang nilai bersamaan dengan jumlah pinjaman yang diambil alih oleh PAAB bagi tempoh 45 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian, sebagai menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Yong Syefura Othman (DAP-Ketari) yang mahukan penjelasan berhubung maklumat terkini mengenai langkah penstrukturan hutang kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata, hutang bekalan air kerajaan negeri akan distrukturkan semula menerusi penstrukturan semua industri perkhidmatan bekalan air negeri Pahang dan ia adalah tertakluk kepada terma-terma tawaran daripada kerajaan persekutuan serta rundingan bersama.

Bagaimanapun setakat ini, katanya, kerajaan negeri masih belum menerima tawaran ini daripada kerajaan Pusat. – Bernama


Tiada ulasan: