Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menafikan laporan media yang
mengatakan Ung Su Ling, individu yang pernah dikaitkan dengan ahli
perniagaan dalam buruan Jho Low dilantik menjadi ketua pegawai
operasinya yang baru.
Menurut, presidennya Norza Zakaria, pelantikan untuk jawatan COO itu akan diumumkan pada hujung bulan ini.
"Setelah kita berbincang tentang perkara ini, pertama sekali saya nak menyatakan bahawa apa yg dilaporkan media sebelum ini berlandaskan khabar angin dan spekulasi.
"Kerana OCM (MOM) tak pernah buat pengumuman dan kenyataan di atas pelantikan COO
"Yang kita tahu, sejak mesyuarat baru-baru ini bahawa media telah lapor berkenaan dengan isu itu tanpa berlandaskan kepada mana-mana keputusan rasmi daripada OCM," katanya pada satu sidang media di Wisma OCM di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya lagi, pengumuman mengenai cadangan untuk melantik COO itu diumumkan tiga bulan lalu dan bertujuan menambahkan keupayaan pengurusan sedia ada.
Menurut laporan The Edge Weekly pada Jun 2018, Ung pernah bekerja di Pengurusan Aset Merican & Partners, yang mana dia bertanggungjawab menguruskan pelaburan bagi pihak Jho Low.
"Dia kemudiannya menyertai perniagaan keluarga Low, Wynton Group. Selepas itu Jho Low menjadikan Ung sebagai CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) yang merupakan cabang amal 1MDB.
"Melalui YR1M, yang menerima beratus juta daripada syarikat seperti Genting dan Tanjong, wang tunai itu disalurkan kepada program politik atas nama amal," petik laporan itu.
YR1M dahulunya dikenali sebagai
Yayasan Gemilang 1Malaysia - badan kebajikan yang "menerima sumbangan
dan memberi bantuan dalam bidang pendidikan, sukan, kebudayaan dan
lain-lain". Najib Razak menjadi salah seorang pengarahnya.
YR1M kini
menjadi subjek siasatan dalam perbicaraan pengubahan wang haram Najib
yang melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
New Straits Times
pula melaporkan keputusan untuk melantik Ung dibuat panel diketuai
Norza sendiri serta dianggotai timbalan presiden Azim Zabidi dan
setiausaha agung Nazifuddin Najib.
"Calon pertama merupakan Ung Su Ling. Adakah saya menipu mengenai perkara itu? Tidak.
"Dia merupakan yang pertama (daripada 59 calon) tapi saya tak pernah katakan dia adalah individu yang akan memegang jawatan tersebut.
"Saya mengesahkan dia memang (pilihan) yang paling atas. Saya juga jelaskan mengenai proses bagaimna dia boleh menjadi yang (pilihan yang) pertama," katanya lagi.
Bagaimanapun katanya lagi, sebarang keputusan perlu dibincang bersama pemegang taruh dan pilihan terbaik tak semestinya akan dilantik.
Pada 2015, Ung pernah disebut dalam laporan The Wall Street Journal kerana didakwa membelanjakan berjuta ringgit untuk membantu BN dalam PRU ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan