HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 April 2019

UMNO Johor menghadap Sultan Ibrahim petang ini

sitifatimah 

Pertemuan berkaitan agenda jaga kedaulatan undang-undang negeri

BANGI– Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dijangka menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, petang ini, lapor Berita Harian.

“Ya… saya akan menghadap Sultan dan masa yang diberikan kepada saya adalah pada jam 5.30 petang. Saya juga meminta izin Tuanku untuk saya hadir bersama Datuk Nur Jazlan Mohamed kerana beliau Timbalan Pengerusi (Badan Perhubungan UMNO Johor) dan bersama Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Naib Presiden UMNO).

“Tiada apa pun (agenda) pertemuan, cuma kami mahu menyuarakan pendirian dan ketegasan UMNO untuk terus menjaga kedaulatan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled mengesahkan tidak hadir dalam pertemuan bersama Sultan Ibrahim.

“Saya tidak hadir. Mungkin dia (Hasni) akan pergi menghadap (Sultan Ibrahim), saya hari ini akan ke Rantau,” katanya.

Sebelum ini, Hasni memberitahu akan mempersembahkan cadangan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kepada Sultan Ibrahim.

Cadangan itu susulan peletakan jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkuat kuasa Isnin lalu.

“Saya akan menulis surat kepada Sultan Johor dan akan mohon menghadap baginda bagi mencadangkan supaya DUN dibubarkan. Saya akan tunggu baginda tuanku pulang ke negeri ini dalam masa terdekat,” kata Hasni.

Sultan Ibrahim dijadualkan pulang ke Johor hari ini, selepas bercuti di Asia Barat sejak minggu lalu.


Tiada ulasan: