HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 April 2019

Pelancong ke M'sia nak tengok Mat, bukan Doraemon

Wan Zamzahidi Wan Zahid

   
Saya pertama kali menonton watak Doraemon di televisyen sekitar tahun 1993, ketika sedang dalam latihan amali di sebuah kilang di Sungai Way.

Saya dalam satu rombongan ke Cameron Highlands bersama-sama pekerja kilang dan kami menginap di sebuah banglo di sana. Sebaik sampai, kami berehat dan menonton televisyen beramai-ramai di ruang tamu dan itulah pertama kali menyaksikan watak kartun itu. Sebelumnya, saya hanya mendengar dari cakap-cakap orang sahaja.

Maknanya, Doraemon ini sudah masuk ke negara kita begitu lama. Sebelum tahun 1993, ianya telah bertapak sebagai satu watak kegemaran kanak-kanak (dan sebilangan orang dewasa juga).

Ia seperti juga watak Ultraman, telah menjadi topik perbualan sejak dari waktu itu lagi. Menariknya, Ultraman telah bertukar ganti, - dari Ultraman Ace ke Ultraman Tiga dan entah apa lagi wataknya.

Namun Doraemon tetap sama, wataknya dan juga jalan ceritanya. Sudah sebati dengan sebahagian rakyat Malaysia yang membesar dengan cerita tersebut.

Doraemon tentunya jauh lebih awal dari Upin dan Ipin, malahan juga lebih awal dari Kluangman serta rasanya kalau tak silap juga lebih awal dari animasi Kampung Boy yang sebelum itu hanya wujud dalam bentuk lukisan. Di zaman kita belum mampu mempunyai animasi sendiri, Doraemon telah mengisi kekosongan tersebut sebagai penghibur khayalan kita.

Tetapi adakah kerana watak itu telah lama bertapak di sini, kita boleh mengakuinya sebagai satu warisan negara lebih daripada watak tempatan yang wujud lebih kemudian darinya? Serta bolehkah kita perlihatkan kepada orang luar sebagai satu ikon tempatan yang mampu menarik orang luar?

Sudah tentu tidak. Berpuluh tahun dia di sini, dia tetap asing. Dia tetap produk orang lain yang bukan kita. Itu perlu kita akui.

Apabila karakter Doraemon diangkat sebagai satu daripada agenda dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020, banyak pihak yang tidak bersetuju dan ia berasas. Kenapa kita perlu ambil satu karakter asing di saat kita punya karakter sendiri yang mampu dipasarkan ke luar? Tidak dapat dipastikan bagaimanakah cara mereka berfikir.

Barangkali ada segolongan tertentu cuba buat duit mudah melalui keadaan ini. Rasanya bukan hanya seorang dua yang berfikiran begini, malah tentunya ramai lagi. Tidak logik untuk kita mengetengahkan satu watak asing untuk menarik orang luar ke negara kita. Tak logik.

Program Tahun Melawat Malaysia 2020 sebenarnya telah banyak terpalit dengan kontroversi, dengan logo yang katanya bertaraf sampah dan promosi yang entah apa-apa. Kini ditambah lagi dengan isu watak Doraemon dan kegilaan menteri untuk bawa kumpulan K-Pop untuk mengadakan konsert di sini.

Adakah kita masih perlu bergantung kepada kreativiti luar setelah lebih 60 tahun merdeka? Adakah kita tak punya watak-watak kita sendiri, sama ada dari sudut animasi atau penghibur?

Tak mungkin pihak berkenaan tak nampak tentang isu ini. Tetapi mungkin sebab terlalu banyak berpolitik, sehingga 'kerja' yang patut dijalankan, terabai dan tidak dilakukan sepenuh hati. Amat malang sekali.

Secara jujur, watak Mat dalam Kampung Boy lebih sesuai untuk diangkat dalam program sempena Tahun Melawat Malaysia. Watak kanak-kanak yang menjalani kehidupan seharian di kampung, bermain, mandi sungai dan pelbagai aktiviti lagi itu jelas lebih sesuai dan lebih layak.

Pelancong datang ke sini bukan untuk melihat kecanggihan teknologi, atau berhibur dengan muzik dan sebagainya kerana mereka mendapat perkara sebegitu yang lebih maju di tempat asal mereka.
Mereka datang untuk mengenal budaya kita, dan melihat sendiri kehidupan yang tak pernah mereka rasai.

Kita masih punya masa untuk mengubah keadaan. Masa yang ada harus digunakan secara bijak untuk memastikan program yang dirancang ini mendatangkan manafaat kepada rakyat seluruhnya.

Tahun Melawat Malaysia 2020 seharusnya menjadi satu program yang menaikkan nama Malaysia di mata dunia, seterusnya membawa masuk lebih banyak peluang untuk memperbaiki status ekonomi rakyat.

Kerajaan sepatutnya melakukan semuanya ini, dengan meletakkan rakyat sebagai pemegang taruh terpenting, bukannya sebagai pelanggan perniagaan pihak tertentu yang akan mengaut keuntungan tanpa mempedulikan apa akan jadi kepada rakyat.


*WAN ZAMZAHIDI WAN ZAHID ialah seorang penulis, penceramah dan konsultan perniagaan bebas. 


Tiada ulasan: