Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berjaya melaksanakan lima janji
kecil yang dikemukakan dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 dalam
tempoh setahun ini sebagai usaha untuk mengurangkan beban kos sara
hidup, kata seorang pakar ekonomi.
Pakar Ekonomi, Institut
Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata antara
janji tersebut ialah memansuhkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan
menggantikannya dengan Bantuan Sara Hidup serta memperkenalkan pas
bulanan tanpa had My50 dan My100 untuk perkhidmatan pengangkutan awam.
“Dalam
teras kos sara hidup, tidak ada satu pun teras yang gagal. Jumlah janji
yang positif dan sedang dilaksanakan adalah sebanyak 23 janji, lima
telah terlaksana manakala 18 lagi dalam proses.
“Ini adalah satu
perkara yang baik kerana kita telah lihat kerajaan mempunyai kekuatan
politik, ingin melaksanakannya dengan mengurangkan kos sara hidup rakyat
tapi kerajaan juga perlu peka untuk melihat sesetengah janji ada kesan
sampingannya jika dilaksanakan,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di Kuala Lumpur malam tadi.
Adli
berkata kerajaan PH berjaya menstrukturkan semula BR1M yang sebelum ini
digunakan sebagai alat politik untuk memancing undi golongan muda.
Manakala Bantuan Sara Hidup, katanya berjaya mencapai matlamat untuk membantu golongan yang lebih memerlukannya.
“Di
situ kita boleh lihat fokus kerajaan untuk menumpukan golongan B40 dan
ini sangat penting kerana mereka adalah golongan yang telah lama
ditindas dan mereka perlu dilindungi oleh kerajaan,” tambahnya.
Sementara
itu, Penyelidik Kanan Demokrasi dan Tabdir Urus, IDEAS, Aira Azhari
berkata kerajaan juga harus memahami realiti untuk melihat apa yang
telah dicapai sepanjang setahun ini.
Katanya rakyat mengundi PH
pada 9 Mei tahun lepas kerana mereka sudah bosan dengan rasuah dan
ketidaktelusan kerajaan Barisan Nasional.
“PH
kena sedar bahawa majoriti rakyat sebenarnya hanya inginkan kehidupan
mereka menjadi lebih baik. Mereka boleh memberikan pendidikan kepada
anak-anak, penjagaan kesihatan yang bagus di hospital kerajaan.
“Dan itu adalah cabaran kepada PH iaitu bagaimana PH mahu memastikan bahawa rakyat menerima manfaatnya,” katanya.
Aira
berkata, pada masa yang sama, kerajaan perlu bekerja dengan kekangan
tertentu, misalnya berhadapan dengan bebanan hutang yang tinggi.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan