MALAYSIAKINI
Kerajaan masih mempertimbang cadangan penjualan syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd (MAS), kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, banyak cadangan diterima kerajaan berhubung penjualan syarikat penerbangan itu yang berdepan dengan masalah kewangan.
"Masih ada cadangan - nak jual atau patut jual, ataupun jual separuh.
"Ada juga cadangan supaya (diadakan) kerjasama dengan negara lain. Ini semua sedang dipertimbangkan," katanya kepada media di ibu negara petang tadi.
Bagaimanapun kata perdana menteri kerajaan belum membuat keputusan mengenai langkah yang akan diambil terhadap MAS.
Ditanya mengenai pihak yang menyatakan hasrat untuk membeli MAS, Mahathir sebaliknya memilih untuk tidak mendedahkan butiran lanjut.
Pada 12 Mac lalu Mahathir menyatakan kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk menjual syarikat penerbangan nasional itu.
Perdana menteri juga menjelaskan kedudukan MAS memerlukan kajian mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat kerana pendekatan yang dibuat kerajaan terdahulu "tidak masuk akal".
“Kita mengurangkan 6,000 pekerja tetapi mengurangkan penerbangan ke banyak tempat. Nisbah kakitangan dengan laluan penerbangan masih sama. Kita kena fikir semula tentang MAS.
“Kalau ada mana-mana cadangan termasuk sektor swasta nak beli, kita fikirlah,” katanya kepada media.
Pada 5 Mac, Khazanah Nasional, sayap pelaburan kerajaan, dilaporkan mengalami susut nilai sebanyak RM7.3 bilion pada tahun lepas dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh MAS.
Khazanah merupakan satu-satunya pemegang saham MAS setelah mengambil alih syarikat penerbangan itu pada 2014 dan menyuntik dana sebanyak RM6 bilion untuk membaiki prestasi syarikat namun usaha tersebut gagal.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan