LIHAT VIDEO DI SINI
KUALA TERENGGANU – Kelewatan pembayaran royalti yang dibayar Kerajaan Pusat disifatkan sebagai penderaan secara ‘halus’ kepada rakyat Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau mengakui pembayaran yang tidak mengikut perjanjian asal menyukarkan perancangan kewangan kerajaan negeri.
“Kita ada menyuarakan kegusaran mengenai kelewatan dan pembayaran yang dibuat secara berperingkat ini yang mana akan menyukarkan kerajaan negeri malah merupakan penderaan secara halus kepada rakyat.
“Bagaimanapun, sehingga kini tiada jawapan daripada Pusat dan kita tidak boleh tentukan mengapa ia berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Kerajaan Persekutuan telah membayar sejumlah RM1.05 bilion Wang Tunai Petroleum (WTP) kepada kerajaan Terengganu sepanjang tahun lalu.
Katanya, bayaran itu diterima secara berperingkat iaitu RM603 juta sebelum PRU14 yang dibayar pada 10 April 2018, RM100 juta (21 Ogos 2018), RM200 juta (8 Oktober 2018) dan RM150 juta (12 Disember 2018).
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, jumlah itu lebih rendah berbanding anggaran terimaan RM1.4 bilion hasil petroleum dan gas seperti dibentangkan menerusi Belanjawan Terengganu 2018.
“Angka yang dianggarkan itu adalah realistik berdasarkan anggaran kiraan harga minyak pada kadar USD60 setong dan kini harga minyak dunia dirujuk pada kadar USD70 setong,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, tahun ini, kerajaan negeri hanya menerima WTP berjumlah RM193.1 juta yang dibayar pada Januari lalu, namun, ia adalah WTP yang sepatutnya diterima pada 2018.
“RM193.1 juta ini pula adalah WTP yang sudah ditolak dengan hutang kerajaan negeri sebanyak 25 peratus oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya. – Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan