HALAMAN SANTAI

Sabtu, 13 April 2019

Seekor RM500

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Izlaily Nurul Ain Hussein


JIKA ayam daging dijual sekitar RM12 seekor namun ayam hutan yang diburu secara haram mampu mencecah sehingga RM500 seekor di pasaran gelap.

Kegiatan haram memburu atau menjerat ayam hutan dikesan terus berleluasa susulan permintaan tinggi dari peminat haiwan eksotik selain kesanggupan mereka membayar ratusan ringgit untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Difahamkan ayam hutan atau spesies Gallus gallus dikategori sebagai haiwan liar dilindungi dan hanya dibenarkan diburu melalui lesen diberikan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan memburu hidupan liar itu berjaya dikesan hasil intipan dan risikan dilakukan pihaknya.

Dalam operasi jam 1.30 petang Ahad lalu, tiga anggota PERHILITAN Perak dibantu empat anggota PERHILITAN Selangor bertindak menahan dan memeriksa sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux di tepi sebuah kedai makan di Kampung Banjar, Teluk Intan, Perak.

Menurutnya, empat lelaki warga tempatan berusia 50-an yang berada di lokasi itu ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui 11 ekor disyaki ayam hutan disembunyikan di dalam karung guni di belakang kenderaan itu.

“Turut ditemui dua laras senapang di tempat duduk belakang yang dipercayai digunakan untuk menembak ayam hutan ditemui itu,” katanya.

Menurutnya, pegawai PERHILITAN kemudian menahan suspek sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Daerah Teluk Intan.

“Semua barang kes dirampas dan dibawa ke Pejabat PERHILITAN Ipoh untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan jam 12 tengah hari khamis lalu, sepasukan pegawai Unit Penguatkuasaan Jabatan PERHILITAN Negeri Sembilan melakukan serbuan di sebuah premis di Mantin, Negeri Sembilan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui enam ayam hutan yang diletakkan dalam sangkar tetap dan sangkar besi di belakang premis kediaman itu.

“Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang juga pemilik premis ditahan untuk soal siasat. Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Mantin untuk soal siasat.

“Semua barang kes disita dan dibawa ke Pejabat PERHILITAN Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, tinjauan wartawan mendapati ramai pemburu haram ayam hutan dikesan menggunakan media sosial serta pelbagai laman jual beli atas talian untuk menjual ayam hutan ditangkap itu.

Kebanyakan mereka ini dikesan meletakkan harga antara RM250 hingga RM500 bagi setiap ekor ayam hutan yang berjaya dijerat.

Walaupun itu jelas satu kesalahan namun permintaan tinggi dipercayai menyebabkan bilangan ayam hutan dijual kian meningkat.

MAKLUMAT BERKAITAN AYAM HUTAN

•Ayam hutan adalah salah satu dari empat spesis burung hidup genus Gallus

• Boleh ditemui di India, Sri Lanka dan Asia Tenggara.

• Sejenis burung besar dengan bulu berwarna-warni pada ayam jantan.

• Ayam hutan terutamanya ayam muda gemar memakan serangga.

• Salah satu spesis iaitu ayam hutan Merah dipercayai adalah nenek moyang kepada ayam belaan pada hari ini,

• Ayam hutan Sri Lanka merupakan burung kebangsaan bagi negara Sri Lanka.

• Terdapat 4 spesis ayam hutan iaitu Ayam hutan Merah ( Gallus gallus ), Ayam hutan Sri Lanka ( Gallus lafayetii ), Ayam hutan Kelabu (Gallus sonneratii) dan Ayam hutan Hijau ( Gallus varius ).

• Ayam jantan bersifat garang dan mempertahankan kawasan dalam radius 1 kilometer.

• Kerap ditangkap menggunakan ayam pikat dan jerat racik dipasang di kawasan hutan atau ladang sawit.

Tiada ulasan: