HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 April 2019

Shafee dakwa AG buat 'ucapan politik' dalam perbicaraan Najib


   

Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan peguam bela Najib Razak, mengkritik pernyataan pembukaan Peguam Negara Tommy Thomas pada hari pertama perbicaraan bekas perdana menteri itu bagi dakwaan pengubahan wang haram berhubung SRC International Sdn Bhd.

"Kita ada aduan serius berhubung pernyataan pembukaan peguam negara. Jika anda baca pernyataan pembukaan, anda akan tak jumpa apa-apa selain dakwaan. Pernyataan pembukaan tidak memberi pencerahan kepada mahkamah atau kepada kami.

"Malah, ia tidak mengikut prosedur di bawah Seksyen 179 Kod Prosedur Jenayah, yang mengatakan anda perlu menyebutkan kes pendakwaan itu tentang apa, dan cara untuk anda mahu membuktikannya.

"Bahagian kedua itu kosong. Ia lebih seperti ucapan politik," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Thomas dalam kenyataan pembukaannya berkata Najib yang sebelum ini merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika kesalahan itu didakwa dilakukan, akan memberikannya "kuasa politik maksimum dan kawalan terhadap kewangan negara."

Thomas kemudian menyenaraikan semua dakwaan yang dihadapi Najib.

Kes perbicaraan itu bermula hari ini dan akan disambung semula pada 15 April depan.

Bercakap kepada media, Shafee juga menafukan dakwaan yang mengatakan pasukan guaman cuma menangguhkan prosiding.

"Tiada cubaan untuk menangguhkan prosiding. Apa yang kami buat hari ini adalah apa yang anda semua akan buat jika anda didakwa.

"Jika anda mengadu tentang dakwaan, anda perlu membuat aduan sebelum permulaan perbicaraan, jadi hari ini kami buat sebelum perbicaraan," katanya.


Tiada ulasan: