Dua minggu lagi, genaplah Pakatan Harapan memerintah Malaysia selama setahun.
Persoalan utama, apakah Malaysia kini di kedudukan lebih baik memandangkan rakyat diyakinkan Malaysia akan menjadi hebat semula tanpa Najib Razak dan skandal 1MDB?
Ringgit kini berada pada paras RM4.13 berbanding AS$1. Setahun lalu, nilai ringgit dalam lingkungan RM3.90 hingga RM4.00 berbanding AS$1, kejatuhan dalam lingkungan RM0.20 berbanding AS$1.
Bursa Malaysia juga mencatatkan penurunan dalam lingkungan 200 mata berbanding sekitar 1,800 mata setahun lalu. Jumaat lalu, Bursa Malaysia berada di paras 1,622 mata, penurunan ketara berbanding tahun lalu.
Sebenarnya, ramai yang memberi amaran ekonomi negara akan merudum pada 2019.
Contohnya, pada Oktober 2018, media utama Jepun, Nikkei memberi gambaran keadaan ekonomi Malaysia semasa adalah buruk.
Namun, perkara itu tidak dipersetujui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyelar laporan itu memberi gambaran tidak tepat.
Tindakan Lim tidak berjaya menghalang amaran demi amaran dan persepsi yang dikeluarkan selepas itu.
Awal tahun ini, syarikat penarafan kredit antarabangsa, Moody’s dilaporkan berkata, hutang dan defisit negara yang semakin meningkat akan menjejaskan Sovereign Credit Rating (SCR) negara, manakala institusi kewangan Jepun, Nomura pula menurunkan penarafan untuk saham Malaysia.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia cuba diyakinkan ekonomi negara tidak bermasalah, contohnya pada 31 Disember lalu, Lim dilaporkan berkata, petunjuk ekonomi Malaysia sangat menggalakkan pada 2019, walaupun kerajaan PH masih baru.
Pada 5 Februari lalu, Lim sekali lagi menyuarakan keyakinannya 2019 adalah permulaan terbaik untuk melihat pembangunan ekonomi negara berdasarkan kedudukan fiskal mula mengukuh dan peningkatan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan sejak tahun lepas.
Malangnya, pandangan Lim tidak selari dengan laporan media antarabangsa, prestasi nilai ringgit dan juga Bursa Malaysia.
Pada 13 Mac lalu, Bloomberg melaporkan Malaysia satu-satunya pasaran yang mencatatkan penurunan. Menurut media antarabangsa itu, indeks FBM KLCI susut lebih 1% tahun ini, manakala Singapura melonjak 5% dan Indonesia pula naik 3%.
Lim dalam responsnya kepada laporan Bloomberg itu berkata, prestasi Bursa Malaysia merosot adalah di luar kawalan kerajaan kerana tertakluk kepada keadaan pasaran.
Bayangkan kalau Najib yang memberikan respons sebegitu sekiranya laporan negatif Bloomberg ini berlaku pada zaman pentadbirannya, berapakah kenyataan yang akan dikeluarkan Rafizi Ramli, Tony Pua dan Lim untuk meraih kelebihan politik?
Tidak cukup dengan itu, Bloomberg baru-baru ini menyiarkan 2 laporan berturut-turut untuk mencerminkan keadaan ekonomi negara dan nilai ringgit yang suram.
Tiba giliran pegawai khas Lim di Kementerian Kewangan, Pua pula bangkit mempertikaikan laporan itu sebagai analisis berat sebelah dan salah fakta.
Antara Bloomberg dan kenyataan Pua, siapa yang lebih dipercayai rakyat dan institusi antarabangsa hari ini? Apakah pelabur asing, prestasi nilai ringgit dan Bursa Malaysia akan mengikut kata-kata Pua atau Bloomberg?
Jika kenyataan Pua dapat menaikkan nilai ringgit dan Bursa Malaysia, Bloomberg perlu mengaku kalah.
Ironinya, di zaman pemerintahan Najib, meskipun Malaysia sering diselubungi berita negatif kerana 1MDB, institusi penarafan antarabangsa memberikan markah agak baik kepada prestasi ekonomi negara.
Namun, PH berjaya meyakinkan rakyat keadaan sebaliknya – di mana Malaysia menuju ke arah kehancuran. Tetapi, pelabur tetap yakin dengan penarafan antarabangsa dan ini dapat dilihat menerusi nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang meningkat selari penarafan antarabangsa sehingga sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.
Setelah PH menjadi kerajaan, institusi penarafan antarabangsa memberikan markah agak suram terhadap prestasi ekonomi negara. PH pula cuba meyakinkan rakyat yang ekonomi negara stabil dan kukuh.
Namun, keputusannya sama, pelabur tetap lebih mempercayai penarafan antarabangsa dan kini hilang keyakinan serta meninggalkan pasaran Malaysia.
Hakikatnya, PH kini berdepan bukan sahaja media dan institusi antarabangsa, malah poket rakyat yang tidak selari dengan kenyataan mereka.
Ingatlah “lip service” tidak berguna lagi, apabila kalian sedang memerintah. Dalam banyak pusingan U, kini tiba masanya untuk “U-turn” persepsi antarabangsa dan rakyat terhadap ekonomi negara.
Tindakan menyalahkan pihak lain seperti Bloomberg dan Najib tidak akan menyebabkan duit rakyat bertambah dan pusingan U persepsi antarabangsa berlaku terhadap ekonomi negara.
Dalam keadaan sekarang, kerajaan perlu melupakan kerja meyakinkan rakyat dan menumpukan usaha meyakinkan pelabur serta persepsi antarabangsa mengenai ekonomi Malaysia.
Jika nak buat pusingan U, inilah masanya untuk mengembalikan persepsi pelabur dan institusi antarabangsa terhadap Malaysia sebelum terlambat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan