Ahmad Atory Hussain dalam buku Dimensi Politik
Melayu 1980-1990: Antara Kepentingan dan Wawasan Bangsa (1997)
menyatakan, suatu perkara yang berlaku di luar jangkaan sama sekali
ialah apabila Dr. Mahathir memecahkan tradisi kepemimpinan terdahulu
dengan tidak melantik Timbalan Perdana Menteri sebaik sahaja menjadi
Perdana Menteri pada 16 Julai 1981.
Persoalannya
ialah mengapa Dr. Mahathir tidak bertindak dengan cepat untuk melantik
Timbalan Perdana Menteri sebaik sahaja beliau memegang tampuk
pemerintahan negara seperti amalan pemimpin terdahulu sebaliknya
menunggu sehingga selesai pertandingan merebut jawatan Timbalan
Presiden UMNO antara Tun Musa Hitam dengan Tengku Razaleigh Hamzah.
“Menurut
penulis, jika sejak dari awal lagi Dr. Mahathir mengumumkan
pelantikan Timbalan Perdana Menteri sebelum Perhimpunan Agung UMNO itu,
tentu ahli UMNO secara tradisinya tidak berlumba berkempen mencalonkan
Musa Hitam atau Tengku Razaleigh kerana mereka akan bersetuju dengan
siapa sahaja yang menjadi pilihan Perdana Menteri sama ada Musa Hitam
atau Tengku Razaleigh.
“Selepas kemenangan
Musa Hitam merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, Dr. Mahathir
melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pelantikan ini banyak
meninggalkan kesan pahit bagi Tengku Razaleigh kerana Musa
berkedudukan nombor tiga dalam barisan Naib Presiden sama seperti
ketika Dr. Mahathir dilantik menjadi Naib Presiden oleh Hussein Onn
dahulu” (Ahmad Atory Hussain 1997: 23-24).
Menurut
Ahmad Atory lagi, semasa Hussein Onn mula-mula mengambil alih jawatan
sebagai Perdana Menteri pada mulanya beliau ingin melantik Tan Sri
Ghazali Shafie sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bukannya Dr.
Mahathir.
“Ada berita mengatakan bahawa pada
mulanya Hussein Onn mahu memilih Ghazali Shafie sebagai Timbalan Perdana
Menteri semasa beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri tetapi
Tengku Razaleigh Hamzah memberikan pendapat yang positif terhadap Dr.
Mahathir. Ketika Hussein Onn meletakkan jawatan, beliau mengharapkan Dr.
Mahathir melantik Tengku Razaleigh menjadi orang nombor dua.
“Namun,
hal ini tidak berlaku seperti diharapkan. Kejadian ini merupakan
peristiwa yang sungguh malang bagi Tengku Razaleigh, seorang yang
dikatakan paling berjasa dalam ekonomi negara (Ahmad Atory Hussain 1997:
22).
Tindakan Dr. Mahathir yang sukar dibaca
kawan dan lawan bermula daripada penyebaran Surat Terbuka Kepada Tunku
Abdul Rahman selepas Tragedi 13 Mei, diikuti penerbitan buku ‘The Malay
Dilemma’ (1970) yang diharamkan oleh kerajaan dan membuka gelanggang
pertarungan merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO
sehingga menyebabkan tersungkurnya kesemua tokoh yang ingin
menentangnya.
Rosnah Majid dalam bukunya
Koleksi Temuramah Khas Tokoh-Tokoh (1985) yang menemuramah Dr. Mahathir
yang ketika itu berusia 56 tahun semasa 100 hari menjadi Perdana
Menteri dan disiarkan oleh Utusan Malaysia dan Utusan Melayu pada 27
Oktober 1981 menyatakan, setelah melalui 100 hari sebagai Perdana
Menteri keempat, cara blunt beliau tetap bersamanya, baik semasa beliau
berhadapan dengan kawan mahupun lawan politik.
“Sama
ada di luar mahupun di dalam kerajaan, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad
tetap melalui cara kontroversial. Kalau semasa menjadi ‘government
backbencher’ di tahun 60-an dahulu beliau sering membangkitkan pendapat
yang boleh membangkitkan polemik yang panjang, maka setelah menyertai
kerajaan, cara beliau tetap tidak banyak berubah” (Rosnah Majid 1985:
102).
Mengimbas kembali nasib Dr. Mahathir
dalam politik negara sehingga berjaya mendaki ke puncak kuasa sebenarnya
banyak ditentukan oleh Tun Abdul Razak dan Tun Hussein yang telah
memberi ‘tongkat sakti’ sehingga beliau menang tanpa bertanding jawatan
Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan parti 1978.
Tindakan
luar jangkaan dapat dilihat apabila Dr. Mahathir menulis Surat Terbuka
Kepada Bapa Kemerdekaan negara yang meminta Tunku berundur daripada
politik dan jawatan Perdana Menteri.
Surat
terbuka itu menimbulkan kemarahan Tunku kerana ditulis dengan bahasa
yang kesat dan menyalahkan Tunku yang hanya ingin mahu dikenali sebagai
“The Happy Prime Minister” (Perdana Menteri paling berbahagia).
Menurut
P. Sivamurugan dalam buku Legasi Mahathir (2005) Tunku Abdul Rahman
menjadi seteru Dr. Mahathir apabila beliau menulis surat terbuka
bertarikh 17 Jun 1969 selepas Tragedi 13 Mei yang mengkritik kepimpinan
Tunku mengendalikan tragedi itu.
Dr. Mahathir
mendesak Tunku bersara dengan kata-kata: “Patik ingin sampaikan kepada
Tunku fikiran rakyat yang sebenar, iaitu masa telah lampau untuk Tunku
bersara dari menjadi Perdana Menteri dan Ketua UMNO” (P. Sivamurugan
2005: 409).
*Sumber: Pusat Maklumat Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan