HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 April 2019

Mujahid nafi benarkan maksiat, perbuatan songsang

DENYUT REFORMASI

 
 
KUALA LUMPUR: Mujahid Yusof mengulangi penafian beliau memperjuangkan isu bertentangan dengan ajaran Islam, termasuk membenarkan perbuatan maksiat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kesal difitnah pihak tertentu yang mendakwa beliau membenarkan perbuatan maksiat, termasuk kegiatan songsang, atas dasar kemanusiaan.

“Bila masa saya kata golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender boleh. Bila masa saya kata zina tak apa asalkan tak nampak. Saya tak kata pun, orang kata saya kata. Apa dosa saya?

“Biar dia jawab dengan Allah di akhirat nanti,” katanya ketika berucap pada sesi ‘Townhall’ Maqasid Syariah peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.
Katanya, sejak dilantik menjadi menteri, beliau tidak pernah menghalalkan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan agama.

Katanya, apa yang dilakukan selaras apa yang diperintahkan agama berpandukan al-Quran dan hadis, bukan bertindak sesuka hati.

“Kalau perkara dilarang agama kita tidak ikut. Kita buat apa yang baik dan diperintah agama, bukan Mujahid kata.

“Jadi, tak timbul yang orang kait dengan kita…saya sudah terang, tapi orang ulang-ulang,” katanya.

Mujahid mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan berita yang disebar menerusi media tanpa menyelidiki kesahihannya.

“Jangan ikut sangat apa yang orang hantar ikut WhatsApp, lepas itu terus percaya. Baca buku apa yang kami nak sampaikan dengan pendekatan ‘rahmatal lil alamin’,” katanya. 
 
 
 
 

Tiada ulasan: