Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim Mohd Daud Bakar berkata, asas utama penggantungan perkhidmatan Abibullah adalah bagi membolehkan yayasan berkenaan melaksanakan proses siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku dalam laporan audit firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC).
“Penggantungan perkhidmatan adalah suatu proses standard di mana-mana organisasi jika terdapat kemungkinan dakwaan salah laku, iaitu seseorang staf boleh disiasat berdasarkan kepada peraturan dalaman organisasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, Mohd Daud berkata, yayasan berkenaan mengambil maklum mengenai laporan media yang mengaitkan penggantungan ketua pengarah yayasan itu dengan satu video tular di media sosial berhubung rakaman ucapan Abibullah.
“Yayasan sudah mengambil maklum tentang rakaman video ucapan tersebut, namun tidak menjadikan rakaman itu sebagai satu-satunya asas pertimbangan untuk menggantung sementara perkhidmatan ketua pengarah Yapeim.
“Sehubungan itu, Yapeim memohon kerjasama pihak media dan media sosial untuk hentikan spekulasi bahawa asas penggantungan sementara perkhdimatan Abibullah adalah berkait rapat dengan rakaman ucapan tersebut,” katanya.
Terdahulu, selepas menggantung tugas Abibullah, yayasan berkenaan mengumumkan pelantikan pengarah kanan, Parihah Hasan sebagai pemangku ketua pengarah agensi itu.
Sebelum ini, pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki yang didakwa Abibullah mempengaruhi kakitangan Yapeim pada pilihan raya umum lepas.
Pendedahan video itu berlaku ketika Yapeim berdepan dakwaan salah pengurusan kewangan, termasuk berhubung dana RM1 juta bagi anak yatim yang didakwa digunakan yayasan itu untuk membayar yuran guamannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan