HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Mei 2019

Sultan Johor dan Dr Mahathir bertemu di Pahang selepas kontroversi antara Putrajaya dan Istana Johor

Sultan Ibrahim bersalaman dengan Dr Mahathir di Istana Abu 
Bakar, Pekan hari ini sempena majlis pengebumian Sultan Ahmad 
Shah. Turut kelihatan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan 
Ibrahim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama anaknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) akhirnya bersemuka di Pahang, selepas kontroversi membabitkan mereka menjadi topik hangat.

Menerusi laman sosial rasmi Sultan Ibrahim, beberapa keping gambar dimuat naik memperlihatkan Sultan Johor diiringi Tengku Mahkota Johor (TMJ) bersalaman dengan Dr Mahathir sewaktu tiba di Istana Abu Bakar, Pekan bagi menghadiri pengebumian Sultan Ahmad Shah, hari ini.

Sultan Ahmad Shah kembali ke rahmatullah semalam di Institut Jantung Negara sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan dengan penuh istiadat di Pekan.

Ini merupakan pertemuan kedua antara Dr Mahathir dan Sultan Johor sejak pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu yang mengembalikannya ke jawatan perdana menteri, selepas pertemuan pertama pada 10 Januari lalu di Istana Bukit Serene.

Selepas pertemuan di Istana Bukit Serene, berlaku beberapa peristiwa tegang membabitkan Istana Johor dan Putrajaya seperti isu ratifikasi Statut Rom, peletakan jawatan menteri besar Johor, cadangan mengganti perdana menteri dan projek pembinaan laluan keretapi ke Singapura.

Dr Mahathir pernah membuat kenyataan bahawa hanya rakyat boleh mengubah kedudukan perdana menteri sebagai respons kepada kenyataan Tunku Ismail sebelum itu yang mencadangkan perdana menteri ditukar.

Malah Dr Mahathir turut direkodkan menggunakan bahasa paling keras terhadap Tunku Ismail dengan menyifatkannya sebagai “bodoh” dan “budak kecil”, sebagai respons kepada kenyataan soalan Tunku Ismail yang mendakwa banyak jasa ayahnya, Sultan Ibrahim tidak didedahkan kepada umum.

Turut hadir pada majlis sama adalah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan orang kenamaan lain.


Tiada ulasan: