HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Mei 2019

Cerita Zahid: Lailatulqadar dan 'missed call' malam 25 Ramadan


   

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menceritakan pengalaman beliau berada di Mekah pada 10 malam terakhir Ramadan ketika dipilih sebagai timbalan perdana menteri.

"Pada tahun 2015 ketika saya kerjakan umrah untuk 10 Ramadan terakhir pada malam 25 Ramadan, saya lihat 18 missed calls.

"Saya telefon balik. Saya tak tahu nombor siapa. Bila saya call, saya cakap assalamualaikum, rupanya bossku. Dia cakap you have to come back now."

"Saya kata saya tak boleh balik sebab nak tunggu malam ke-27 Ramadan. Rupanya dia lantik saya sebagai TPM," ceritanya pada majlis berbuka puasa di sebuah surau di Bangi hari ini.

'Bossku' adalah gelaran yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak oleh pengguna media sosial.

7 burung tawaf di atas kaabah

Selain itu, Zahid  juga menceritakan pengalaman ketika bersama mengerjakan umrah bersama pendakwah terkemuka, Allahyarham Harun Din, Najib dan isteri.

"Kebetulan lepas sahur, Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah, Tun Rahah (Ibu Najib), Tun Suhailah (ibu Hishamuddin Hussein), saya dan isteri turun ke dataran kaabah.

"Beberapa orang wanita Arab bagitahu ada 7 ekor burung tawaf di atas kabah. Ketika itu saya sedang solat hajat. Saya diserbu dari belakang. Kopiah saya terpelanting.
"Dan orang bertumpu ke kaabah ketika itu. Saya tak tahu kerana tak ada signal tentang lailatulqadar.
Tapi dalam sujud terakhir, saya doa berikan aku dan rombongan ku Lailatulqadar.

"Pagi tu, subuh, hujan dari Mekah ke Madinah sampai banjir. Sebab keganjilan ni bukan tuhan berikan signal, tuhan nak uji siapa kalangan hamba-hamba yang benar-benar taat," kata Zahid.

Pada tahun 2015, Najib melakukan rombakan kabinet dan memberikan tekanan dalam siasatan 1MDB termasuk menyingkirkan peguam negara ketika itu.

Antara tindakan dilakukannya ialah menyingkirkan timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk digantikan dengan Ahmad Zahid.

Selepas itu Muhyiddin bersama beberapa yang lain menubuhkan Bersatu dan menjalinkan kerjasama dengan PKR, Amanah, DAP dan Warisan.

Gabungan itu berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum tahun lalu, yang menyaksikan BN kali buat kali pertama tewas setelah 61 tahun berkuasa.

Mungkin lailatul qadar di Bangi

Najib kini menghadapi tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta SRC International Sdn bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Manakala Zahid menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah,  rasuah dan pengubahan wang haram. 
Bagaimanapun kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan masih dibicarakan.

Zahid berkata beliau pada tahun ini tidak dapat menghabiskan malam terakhir Ramadan di Mekah kerana mahkamah enggan memulangkan pasportnya.

"Ketiga-tiga mahkamah tinggi, rayuan, federal, menolak untuk saya pergi.

"Mungkin lailatulqadar bukan hanya di Mekah dan Madinah, tapi di Bangi,"katanya.

Dalam ucapannya, Zahid turut menggesa umat Islam supaya bersatu.

"Biarpun kita ada warna berbeda, tapi dalam soal agama, jangan ada perbedaan antara kita.

"Kita jadi begini sebab kita melayani perbedaan yang melampau-lampau. Akhirnya kumpulan minoriti kuasai majoriti," katanya.


Tiada ulasan: