HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 Mei 2019

DAP Pahang gagal kesan pemimpin cawangan

MALAYSIAKINI

   

DAP Pahang mendakwa gagal menghubungi Pengerusi Cawangan Jerantut parti itu, Loo Why Leong, sejak petang semalam selepas dia bebas daripada tahanan polis.

Setiausaha DAP Pahang Lee Chin Chen juga berkata Loo menafikan salah laku yang dikaitkan padanya.

Bagaimanapun kata Lee, DAP Pahang tetap menyerahkan isu berkenaan untuk disiasat polis.
“Kami tidak dapat menghubungi Loo dari petang semalam hingga kini.

“Mengikut kenyataan Loo sebelum ini, dia menafikan tuduhan terlibat mengancam ketua polis daerah Jerantut.

"Oleh itu DAP Pahang akan menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Ketua Polis Pahang Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan Loo ditahan ekoran aduan dibuat Ketua Polis Jerantut Mazlan Hassan.

Terdahulu Mazlan mendakwa mendapat mesej daripada Loo dan kenyataan dibuat pemimpin DAP terbabit berbau ancaman.

Akan dibincangkan dalam mesyuarat

Selepas ditahan dan diambil keterangannya, Loo kemudian dibebaskan beberapa jam kemudian.

Difahamkan Loo, 53, didakwa menghantar mesej tersebut menerusi WhatsApp kepada Mazlan kerana tidak berpuas hati dengan penahanan pertamanya pada Khamis lalu.

Difahamkan juga Loo ketika itu didakwa cuba menghalang seorang pegawai polis daripada menahan seorang setiausaha bahagian DAP yang dituduh menjual rokok dan minuman keras "tidak bercukai".

Sementara itu, Lee berkata, negara ini menjunjung keadilan undang-undang dan tiada mana-mana pihak boleh menggunakan kedudukan untuk mengugut orang lain.

“Sesiapa pun tidak boleh melampaui batas undang-undang, dan mereka yang melanggarnya harus dikenakan hukuman setimpalnya,” kataLee.

Justeru Lee berkata sebelum siasatan kes tersebut selesai, semua pihak diminta tidak membuat sebarang kesimpulan kerana ia tidak adil terhadap mana-mana pihak.

“Jawatankuasa DAP Pahang juga akan membincangkan perkara ini pada mesyuarat akan datang,” katanya.


Tiada ulasan: