Erin Marzuki hanya melihat pengunjung yang lalu lalang di hadapan gerainya di bazar Ramadan Jalan Raja sambil mengharapkan ada yang singgah dan membeli jualannya.
Jika di gerai lamanya dahulu di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), pada waktu-waktu begini dia sedang sibuk melayani pelanggan yang ramai, lebih-lebih lagi pada waktu hujung minggu.
Peniaga pakaian tradisional kanak-kanak berusia 37 tahun itu berkata, keadaan kini berubah apabila bazar Ramadan Jalan TAR dipindahkan ke jalan berhampiran Dataran Merdeka itu.
“Perniagaan perlahan-lahan macam nak mati,” katanya ketika ditemui Malaysiakini semalam.
Meskipun sudah memasuki hari ke-15 Ramadan, menurut Erin hanya 30 peratus sahaja jualannya terjual setakat ini jika dibandingkan di Jalan TAR sebelum ini.
“Stok baru pun saya tak keluarkan lagi. Lain kali jangan buat kat sini lagi. Kawasan tak strategik. Ini tempat pelancongan, bukan perniagaan - tak boleh campurkan,” luahnya sambil menunjukkan stok baru yang masih tersimpan kemas dalam plastik.
Katanya, lokasi asal tidak lagi sesuai memandangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat banyak bantahan daripada pemilik premis kedai berhampiran, selain isu kesesakan lalu lintas yang teruk dan masalah longgokan sampah.
Awal bulan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad meminta DBKL diberi peluang untuk melaksanakan rancangan pemindahan itu.
Khalid
berkata, walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan rancangan DBKL, pada
masa sama terdapat kumpulan lain menyokong cadangan berkenaan.
Kebanyakan mereka membandingkan lokasi di Jalan TAR yang disifatkan lebih strategik memandangkan ia berdekatan dengan pusat membeli belah terkenal dan premis pejabat.
Stok masih tersimpan
Peniaga tudung Nursyuzlyana Suherman, 23 mengakui jualannya di Jalan TAR sebelum ini mampu mencecah sehingga RM6,000 sehari berbanding sekitar RM300 yang diperolehinya sekarang.
“Kalau Jalan TAR, awal-awal orang dah ramai, pagi-pagi orang dah beli.
“Selesa tak selesa tu tak kisah tapi lagi suka kat tempat lama (Jalan TAR). Kat sini orang semata-mata jalan saja,” katanya.
Katanya, lokasi tidak strategik itu juga menyebabkan stok jualannya masih tersimpan di rumah.
Khairuddin
yang menjalankan pernigaan keluarganya sejak 25 tahun lalu berkata, ,
jualannya kini kurang 50 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Malam-malam lagi ramai orang tapi sini tak macam tu,” katanya.
Pengunjung ramai tapi tak membeli
Tinjauan Malaysiakini juga mendapati khemah putih yang disediakan oleh DBKL sepanjang kira-kira 500 meter terletak kurang 1 kilometer dari LRT Masjid Jamek.
Ia dilengkapi dengan kipas siling dan kipas gantung serta beberapa sudut yang baru sahaja dipasang pendingin hawa.
Ruang bagi pengunjung berjalan menerusi khemah itu juga tidak menyesakkan seperti di Jalan TAR yang menyebabkan pembeli terpaksa 'berlanggar bahu' sesama sendiri.
Namun peniaga memberitahu keadaan berhaba tanpa sistem pengudaraan yang baik disebabkan rekabentuk gerai yang tertutup bukanlah isu utama dihadapi mereka.
Namun, apa yang menjadi perkiraan peniaga terbabit adalah jualan mereka yang kini terjejas.
Pengunjung yang datang kebanyakannya hanya tertumpu di beberapa kedai dan tidak semua melakukan pembelian.
Rata-rata mereka lebih gemar membelek-belek dan bertanyakan harga sebelum berlalu pergi.
Perlu tambah baik
Pemandangan yang sama berlaku di gerai jualan songkok Mohd Rizal Darwish, 56.
Kira-kira setiap 10 minit, Mohd Rizal disapa pengunjung yang bertanyakan saiz dan harga sambil mencuba songkok yang tersusun di gerainya itu.
Namun, seperti yang dijangka mereka hanya berlalu pergi tanpa membeli.
“Jalan TAR dengan sini memang berbeza. Tahun ini baru pertama kali kat sini, jadi tak nampak lagi (hasil) bergantung juga macam mana mereka berbelanja,” katanya.
Menganggap pengunjung di situ lebih
berkira-kira dalam soal berbelanja, Mohd Rizal mencadangkan keadaan itu
ditambahbaik dengan mengadakan gerai makanan berdekatan.
“Saya lebih pilih di sini. Hujan panas pun orang tak kisah sebab peniaga tak perlu tutup (gerai) dengan plastik,” katanya.
Pembeli berbelanja di saat akhir
Katanya, ini memandangkan kebanyakan orang ramai akan mula membeli kuih seminggu sebelum raya atau pada malam raya, kerana mereka menjangkakan jualan lelong pada saat-saat akhir.
“Orang memang ramai dan mereka tak beli tapi jalan terus saja. Kita dah tau trend (pembeli), jadi tak letak harapan tinggi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan