Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui menerima maklumat awal mengenai pengunduran Penasihat DAP, Lim Kit Siang daripada berdebat dengan beliau.
Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau mendakwa Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP sendiri yang tidak bersetuju dan memulakan langkah untuk membatalkan program debat yang dicabar sendiri oleh Kit Siang.
“Sudah tengok ada langkah-langkah yang sudah dimulakan untuk batal debat ini. Mereka meluahkan kebimbangan Kit Siang mungkin tersungkur kalah dalam debat ini,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasmi beliau pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan turut berkata wujud pihak yang bimbang beliau akan mengeluarkan fakta yang sukar ditangkis Kit Siang selain mengetengahkan bukti pembohongan dan fitnah daripada PH selama ini.
“Tetapi, PH sepatutnya menaruh sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada Kit Siang kerana dia sudah menjadi bos DAP lebih dari 50 tahun.
“PH juga perlu tahu tidak ada seorang pun dipaksa untuk menonton debat ini dan debat ini tidak akan menggunakan sebarang wang rakyat.
“Dalam semangat demokrasi dan ketelusan, biarlah debat ini diteruskan dengan tajuk yang dicadangkan oleh DAP dan sudah pun dipersetujui oleh saya,” katanya.
Terdahulu, Kit Siang membuat pengumuman untuk menarik diri daripada berdebat Najib atas alasan bimbang program itu akan mencetuskan konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan