KASIHAN pula tengok Menteri Pendidikan Dr Maszlee dah berhari-hari kena hentam kiri kanan. Petisyen 60,000 tandatangan sudah siap. Tinggal hantar pada Tun supaya dipecat.
Macam-macam fitnah timbul. Lim Kit Siang punya sejarah komunis pun keluar balik di Facebook. Sejarah 13 Mei semua dikorek dan dibangga-banggakan. Ada dokumentari untuk melaga-lagakan kaum Cina dan Melayu. Pelbagai artikel ditulis sempena sambutan ke-50 Sejarah Gelap.
Pelik betul rasanya, sejarah gelap pun hendak diraikan. Perlukah semua huru-hara ini dalam bulan Ramadan, wahai orang Melayu Muslim? Apa faedahnya melaga-lagakan kaum ni?
Letih la…
Belum habis cerita pasal pemiutang tidak bayar hutang PTPTN, kecoh pula pasal kuota Bumiputera matrikulasi tidak cukup dan sebagainya.
Sebenarnya, masalah negara ini bukan tidak cukup kuota ke apa, tetapi Melayu kaya Malaysia sudah dah jadi terlampau rakus. Penyakit Umno tamak sudah berleluasa. Dah sebati dalam darah daging Melayu kaya. Adab entah ke mana, rasa malu pun tidak ada langsung dalam jiwa. Tapi nak juga laungkan Melayu Islam.
Tolonglah… Jangan ikut jejak langkah Bossku.
Dah kaya tapi kedekut. Dah kaya tapi nak kaya lagi. Macam la duit berlambak tu boleh masuk kubur.
Yang tak tahan tu, dah kaya tapi tak boleh nak hantar anak sendiri kat universiti swasta. Kereta BMW berkilat boleh beli, tapi RM120,000 tidak boleh bayar untuk zuriat sendiri. Hendak juga hak Bumiputera dia untuk dapat biasiswa, dapat tempat di universiti tempatan sebab murah.
Celah gigi kan? Yang kaya pun hendak hantar anak masuk UiTM kenapa? Sebab duit hendak simpan bayar kereta mewah kan? Nak beli rumah semi-D untuk muat naik di Facebook. Hendak pergi melancong di London kemudian selfie di Tower Bridge. Hendak naik belon panas di Cappadocia?
Oh bosan betul…
Buruk betul perangai Melayu kaya ni. Tidak fikir langsung pada anak petani yang tidak ada duit pun bayar tambang bas datang KL. Ada yang tidak ada duit bayar yuran. Melayu kaya sibuk juga nak hak Bumiputera dia. Pakai kabel sini sana jolok anak dia supaya dapat masuk MRSM. Dapat biasiswa JPA, Khazanah, Bank Negara… yang best-best la kan.
Depa tidak ada langsung pemahaman “Maqasid Shariah”. Tidak ada konsep “Shared Prosperity”.
Jawatan besar tapi otak asyik “resting mode”. Tidak ada langsung rasa bersalah. Sebab dia rasa anak dia memang hebat. Sebab dia sayang hendak guna duit gaji dia.
Adoi, macam mana hendak jadi First World Country ni, Malaysiaku?
Mindset Melayu kaya masih kleptokrat, sama macam Bossku.
Sebab tulah negara Malaysia makin lama, makin mundur jadinya. Lagi lama, lagi jauh jarak yang kaya dengan miskin. Jangan pula nanti salahkan menteri kewangan.
Semua salah menteri, tidak pernah salahkan diri sendiri! Meluat. Sebab yang kaya rakus dan tamak. Tidak ingat orang miskin. Tidak ingat orang belakang. Nak hidup senang sendiri.
Sekolah asrama penuh yang dulunya ditubuhkan untuk Melayu miskin kini dominasi Melayu kaya.
Agak-agak la sikit bila bawak kereta menjalar ke MCKK dengan TKC. Kesian pada anak orang miskin yang SPM pun tak lepas sebab lemah Matematik dan Sains. Yang kaya boleh hantar tuisyen, yang miskin tetap mundur ke belakang sebab tidak diberi peluang.
Saya syorkan pada Dr Maszlee, kuota kalau tambah macam mana banyak pun, tetap tak cukup. Sebab Melayu kaya hendak tumpang sekaki. Sebab Melayu kaya tidak liberal hendak duit free, boleh upgrade kereta Porsche Cayenne pula lepas ini.
Saya cadangkan semua pelajar yang nak belajar di universiti tempatan, ibu bapa dia kena buat deklarasi aset. Kalau gaji serumah tu berpuluh-puluh ribu, kereta Benz sebiji, kereta BMW sebiji di depan rumah, tolonglah jangan bagi pelajar itu masuk UiTM. Kalau hendak masuk juga, yuran yang mahal patut dikenakan. Duit berlambak tu tolong keluarkan sikit untuk anak sendiri.
Hendak selesai masalah, bukan cara hentam-menghentam. Itu tidak ada kelas namanya. Bagi solusi, bagi cadangan kat Pak Menteri. Sebab masalah semua berpunca daripada kita sendiri.
Kalau Melayu kaya tolong Melayu tak kaya, tidak jadi pun masalah Kuota Matrikulasi ni. Hisssh, yang itu pun nak bagi tau ka?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan