LANGKAWI – Mayat seorang bayi yang tidak
diketahui jantina ditemukan dalam keadaan berulat di tepi jalan Kampung
Dato Syed Nahar, Mukim Kuah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal
Ibrahim berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat bayi yang
diletakkan di dalam beg plastik sampah hitam oleh seorang penduduk
kampung berkenaan kira-kira 9.05 pagi.
Kata beliau menurut keterangan saksi, beg
plastik tersebut sudah berada di lokasi berkenaan sejak tiga atau empat
hari lepas namun tidak dihiraukan kerana disangka mengandungi sampah
sahaja.
“Pada tadi semasa keluar dari rumah, saksi
terhidu bau busuk dari arah beg plastik tersebut. Saksi membuka plastik
tersebut dan nampak objek berupa bayi dalam keadaan berulat penuh
sebelum memaklumkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan terhadap beg plastik hitam
tersebut didapati ada satu mayat bayi. Jantina, umur dan identiti lain
mayat tidak dapat dipastikan kerana keadaan berulat penuh,” katanya
dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Iqbal berkata semasa penemuan mayat bayi tersebut, tiada sebarang identiti lain dijumpai berhampiran mayat itu.
“Jabatan Forensik Hospital Langkawi telah
dimaklumkan dan bedah siasat akan dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah,
Alor Setar esok,” katanya.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan