Lelaki berusia 25 tahun itu meninggal dunia 29 Mei lalu dilaporkan akibat jangkitan radang paru-paru atau pneumonia dan dikebumikan mengikut cara Islam pada 30 Mei di hutan Kuala Koh, di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Mohd Taufik Maidin berkata mayat itu dibawa keluar unit forensik pada 3.30 petang tadi.
“Kuburnya berada di dalam hutan. Mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan ujian lanjut,” katanya pada sidang media di Ladang Aring 10, hari ini.
“Ada mayat yang ditemui dibalut dengan tikar mengkuang…kami jumpa, kami tak usik dan hanya buat tanda.”
Katanya, operasi mengesan baki 4 lagi daripada 12 mayat Orang Asli itu dijangka mengambil masa lebih lama kerana lokasinya jauh di pedalaman hutan. Sehingga hari ini 8 mayat sudah ditemui.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan menasihatkan orang ramai tidak memasuki kawasan yang diisytiharkan zon merah di Kuala Koh, Gua Musang kerana ia adalah kawasan larangan yang ditetapkan dalam Arahan Nombor 20 Majlis Keselamatan Negara.
Katanya, seperti yang diketahui, apabila tercetusnya sesuatu bencana, biasanya ada lingkaran merah yang dihadkan kemasukan.
Beliau berkata, zon kuning terhad kepada kumpulan tertentu yang dibenarkan masuk, manakala orang ramai ramai dibenarkan memasuki zon hijau.
“Biasanya bagi kawasan yang dilanda wabak sebagai contoh, ianya akan diisytihar sebagai zon merah dan kita akan jaga supaya tidak dimasuki mana-mana pihak tanpa kebenaran.
“Seperti di Kuala Koh, Gua Musang kita masih belum mengetahui wabak atau virus apa yang ada di situ,” katanya di Kota Bharu hari ini.
Polis membuat sekatan jalan di Aring 10 berhampiran Kuala Koh bagi memastikan tiada pencerobohan sejak semalam.
Kawalan itu bukan untuk penduduk Orang Asli yang tinggal di kampung itu, tetapi untuk menghalang kemasukan orang awam dan agensi tidak berkaitan.
Difahamkan, hanya mereka yang terbabit dalam operasi pencarian kubur Orang Asli dibenarkan masuk ke sana seperti petugas khas dan anggota forensik polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan