HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Jun 2019

Janganlah cuba tentukan syurga dan neraka orang, kata mufti

MALAYSIAKINI

   

Kita itu tidak boleh menentukan seseorang itu layak ke syurga atau ke neraka disebabkan sesuatu kekurangan yang dilihat, kata mufti Perlis.

Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan tugas umat Islam hanya memaklumkan perkara yang membawa dosa dan pahala yang boleh membawa ke neraka atau syurga.

Menurut Mohd Asri, hanya Allah yang maha mengetahui mengenai timbangan dosa dan pahala seseorang dan tidak adil sekiranya seseorang itu diadili kerana dosa peribadinya seperti tidak menutup aurat.

“Maka, boleh jadi ada orang yang di mata kita lekeh disebabkan dosa peribadi seperti tidak menutup aurat, namun dia kurang melakukan dosa dengan hamba-hamba Allah yang lain.

“Boleh jadi orang yang kita pandang tinggi dengan penampilannya, tapi betapa banyak dosanya dengan hamba-hamba Allah yang lain.

“Justeru, janganlah kita menafikan kebaikan orang lain disebabkan sesuatu kekurangan yang kita lihat. Ini tidaklah bererti menjustifikasi dosa yang dia lakukan, tapi kita dituntut untuk adil dalam menilai orang lain.

“Dosa dinilai dosa, baik dinilai baik. Ada dosa tidak semestinya tiada kebaikan. Ada pahala tidak semestinya tiada dosa,” tulisnya dalam Facebook beliau.
Dr Nur Amalina Che Bakri
Beliau menjawab persoalan awam kepadanya berkaitan kebaikan pelatih pakar bedah warga Malaysia di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri yang terlibat dalam pembedahan bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dengan penampilannya yang tidak bertudung.

Amalina menghulurkan bantuan bagi membolehkan Ainul yang menghidap germ cell tumor dibawa ke London bersama kedua-dua ibu bapanya untuk menjalani pembedahan itu selepas keadaan Ainul tular di media sosial.

Mohd Asri bagaimanapun tidak menyebut secara khusus nama doktor itu.

Mohd Asri menambah, umat Islam juga perlu sedar bahawa semua orang merupakan pendosa yang tidak lari melakukan kesilapan, bezanya adalah sama ada dosa itu diketahui orang atau tidak.

“Hendaklah kita tahu di sana ada dosa peribadi hanya antara hamba dengan tuhannya tanpa membabitkan hamba-hamba Allah yang lain.

“Dosa jenis ini mudah diampunkan oleh Allah. Di sana pula ada dosa yang membabitkan kezaliman antara kita dengan hamba-hamba Allah yang lain.

“Dosa ini tidak diampuni sehingga kita memohon kemaafan atau membayar pahala kita di akhirat kelak. Jika tidak, kita mesti menanggung dosa orang yang kita zalimi,” katanya.


Tiada ulasan: