HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Jun 2019

Jakoa: Panik, takut punca Orang Asli tidak lapor kematian

Orang Asli suku Batek mengamalkan cara hidup berpindah 
randah dan banyak terdapat di Pahang, Kelantan dan Terengganu. 
(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Panik, tertekan dan takut akan penyakit yang merebak, menyebabkan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan bertindak mengebumikan mayat anggota suku itu mengikut adat dengan segera dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Prof Dr Juli Edo berkata, ia ditambah pula dengan ketiadaan medium komunikasi berikutan kedudukan mereka yang jauh di dalam hutan tebal berhampiran Taman Negara di sempadan Kelantan-Pahang sewaktu mereka berhijrah.

“Apa yang berlaku di Kuala Koh, ada 1 hari 2 kematian, jadi kedudukan pula jauh, lepas itu mereka panik dan takut dengan penyakit jadi mereka percaya lagi lama mayat disimpan penyakit itu akan merebak. Itu menyebabkan mereka cepat-cepat kebumi.

“Kebiasaannya, Orang Asli bila saudara mara mereka meninggal dunia, mereka akan kebumikan begitu sahaja. Namun peraturan kita sekarang memerlukan mereka melaporkan kepada pihak berkuasa dan kalau kita kebumi tanpa melaporkannya ia dianggap satu kesalahan. Itu undang-undang kita,” katanya ketika dihubungi.

Juli berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kejadian menimpa Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, baru-baru ini, yang didakwa dilanda penyakit misteri sehingga mengakibatkan beberapa kematian.
Ketua Pengarah Jakoa, Juli Edo.
Mengikut suku itu, berlaku 14 kematian dengan mangsa dikebumikan secara adat oleh penduduk kampung, tetapi polis memaklumkan hanya menerima 2 laporan berkaitan kematian terbabit.

Mengulas mengenai cara hidup mereka, Juli yang pernah berkhidmat di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya berkata, masyarakat Orang Asli suku Batek masih mengamalkan kehidupan secara berpindah randah secara turun-temurun, tetapi tidak sepenuhnya sekarang ini (separa nomad).

Suku yang tergolong di bawah kumpulan Negrito itu banyak terdapat di Pahang, Kelantan dan Terengganu, kata Juli yang berasal daripada suku Semai.

Beliau berkata, terdapat 3 faktor utama menyebabkan suku ini berpindah-randah, iaitu makanan, penyakit dan berkunjung ke rumah saudara mara, misalnya untuk menghadiri kenduri yang memerlukan mereka tinggal lama di sesuatu kawasan.

“Kadang-kadang mereka berpindah sebab musim buah-buahan atau lari daripada penyakit yang mempunyai kaitan dengan kepercayaan serta berkunjung ke rumah saudara mara sekiranya ada keramaian. Ini memang cara hidup mereka,” katanya.

Tiada ulasan: