HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Jun 2019

Jangkitan kuman punca Orang Asli meninggal dunia

Siti Nor Hidayatidayu Razali
 


KEMATIAN Orang Asli suku Batik di Kuala Koh, Gua Musang disebabkan jangkitan kuman di saluran pernafasan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, kejadian itu dikesan hasil maklumat sukarelawan Orang Asli pada 4 Jun lalu kepada Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang dan pada masa sama ia tular di media sosial.

Katanya, jabatan kesihatan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) segera menghantar pasukan kesihatan dan perubatan ke perkampungan terbabit pada hari yang sama.

“Kita mengesan 29 kes dan dibawa untuk pemeriksaan lanjut di Klinik Kesihatan Aring dan Klinik Kesihatan Ciku 3, Gua Musang.

“Hasil pemeriksaan, 12 kes dirawat sebagai pesakit luar dan 17 dirujuk ke Hospital Gua Musang (HGM) termasuk tiga ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan lebih rapi.

“Pesakit ini terdiri daripada 19 perempuan dan 10 lelaki berusia iaitu tiga bayi, 10 kanak-kanak dan 16 dewasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan klinikal mendapati mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan kuman di saluran pernafasan.

Menurutnya, pihak hospital HGM dan HKK sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan punca penyebab penyakit berkenaan.

“Setakat ini ujian terhadap tibi adalah negatif. Pihak kami sedang menunggu keputusan ujian bagi virus repiratori yang lain.

“Kesemua yang dirawat di hospital menunjukkan keadaan mereka yang semakin pulih,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, 13 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia dalam tempoh sebulan yang bermula sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada Orang Asli membabitkan jangkitan kuman di paru-paru atau ‘Pneumonia’.

Berita berkaitan
[UPDATE] Selamatkan segera Orang Asli Kuala Koh
Orang Asli Kampung Kuala Koh diserang tibi
 
 

Tiada ulasan: