HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Jun 2019

Tak sedar ibu, bapa dah meninggal

Mary Victoria Dass
 
 

“Nur Ummi Qaisara, 10, yang dibenarkan keluar daripada Hospital Mersing, pagi semalam, mula mencari ibu dan bapanya tanpa menyedari mereka sudah tiada,” kata ibu saudara Nur Ummi Qaisara, Norhafizah Zakaria, 21.

Dalam kejadian kemalangan maut pada Hari Raya kedua, kereta Proton Wira dinaiki lima beranak dari arah Endau ke Mersing dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Kereta itu kemudian bertembung kenderaan Proton Exora menyebabkan penumpang hadapan, Nurul Jannah Talib, 29, dan anaknya, Muhammad Darwish Mohd Safar, empat tahun maut di tempat kejadian.

Manakala ketua keluarga yang juga pemandu kereta, Mohd Safar Zakaria, 34, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Mersing.

Dua lagi anak mangsa, Nur Ummi Qaisara dan Nur Dawishya terselamat dan dirawat di hospital sama.

Norhafizah berkata, mengelak kejutan kepada Nur Ummi Qaisara, keluarganya terpaksa merahsiakan ‘pemergian’ ibu, bapa dan anak bongsu keluarga mereka.

Menurutnya, mereka khuatir kesihatan Nur Ummi Qaisara terjejas sekiranya dimaklumkan kejadian menimpa ahli keluarganya itu.

Katanya, soalan pertama diutarakan Nur Ummi Qaisara ketika di hospital adalah di mana ibunya.

“Kami terpaksa merahsiakan kejadian sebenar dan hanya menyatakan ibunya masih dirawat di wad.
Nur Ummi Qaisara mengalami kecederaan termasuk di bahu,” katanya.

Norhafizah berkata, Nur Ummi Qaisara dihantar kepada keluarga ibu saudara di Kuantan, Pahang dan akan menetap di sana buat sementara waktu.

“Kami berharap Nur Ummi Qaisara diberi kekuatan untuk menerima hakikat kehilangan insan kesayangannya selepas dimaklumkan kejadian sebenar kelak.

“Hanya Allah mampu memberi kekuatan kepadanya dan kami terus berdoa,” katanya.

Norhafizah berkata, adik perempuan Nur Ummi Qaisara, Nur Dawishya bagaimanapun masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Kami difahamkan dia cedera di kepala dan masih belum sedarkan diri. Dia kini di bawah pemantauan doktor pakar dan pasukan perubatan.

“Malah dia dijadualkan menjalani pembedahan di bahagian kepala dalam tempoh terdekat, kami berharap rakyat Malaysia akan membantu berdoa supaya semuanya selamat,” katanya.

Tiada ulasan: