HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Jun 2019

Kepada Yang Buta Sejarah, TNB Dan Mahathir?


Bagi generasi muda yang lahir selepas dekad 1990-an, kisah seluruh Semenanjung Malaysia pernah bergelap tanpa elektrik atau disebut blackout mungkin tidak diketahui atau langsung tidak diambil peduli!

Peristiwa hitam tersebut yang didakwa banyak pihak sebagai sabotaj akibat konspirasi perdana menteri waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha sengaja aibkan imej Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Komplot jahat itu turut diakui bekas Pengerusi Eksekutif TNB, Allahyarham Tan Sri Ani Arope yang mengesahkan pelan blackout seluruh semenanjung pada 1992 bertujuan untuk mewujudkan Penjana Tenaga Bebas (IPP) di seluruh negara ini.

Ia dinyatakan dalam buku beliau, Memoir Tan Sri Ani Arope setebal 143 surat menceritakan kisah permulaan IPP apabila Unit Perancang Ekonomi (EPU) dikuasai oleh Madey pada ketika itu ‘paksa’ TNB untuk segera serahkan dua bidang tanah miliknya.

Ini melibatkan di Paka, Terengganu dan Pasir Gudang, Johor kepada pihak ketiga iaitu kroni Madey bagi projek pembinaan loji janakuasa IPP yang akan bekal tenaga elektrik kepada pihak TNB semula dengan harga amat tinggi.

“TNB ada rancangan untuk hasil lebih banyak bekalan elektrik dengan bina loji di Pasir Gudang dan Paka. Tiada masalah pembiayaan dan penarafan kredit kami adalah sangat tinggi. Kami malah memiliki tanah sendiri dan bersedia untuk membina loji baharu.

“Tetapi kami diberitahu oleh EPU bahawa ia pun ada rancangan sendiri. Kami diberi amaran oleh pihak EPU bahawa jika loji itu, yang ambil masa dua bulan untuk disiapkan tidak dibina, Malaysia akan alami satu lagi insiden blackout" katanya dalam nada amat kesal.

Begitulah luahan sedih Ani ketika ditemuramah akhbar The Star pada 2014 mengenai apa yang berlaku pada 1992 sebelum keadaan buruk itu berjaya segera diperbetulkan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mantan menteri kewangan itu yang sedar kemelut tersebut telah bertindak ambil alih semua IPP menerusi sayap pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi ini cetus kemarahan Madey pula.

Walhal langkah bijak Najib itu bertujuan untuk memastikan tarif elektrik yang kerap naik pada era Madey hingga bebankan pengguna miskin kemudian berjaya diturun setelah 1MDB kuasai semua IPP milik kroni negarawan tersebut.

Mengulas lebih lanjut, Ani yang dilantik jadi bos TNB pada 1990 tegas berkata, syarikat utiliti awam tersebut semasa itu memiliki 250 jurutera terbaik dan adalah mustahil kes blackout boleh disebabkan perancangan lemah oleh mereka sendiri.

Menurut Ani, selepas peristiwa hitam itu, TNB hasilkan elektrik pada 8 sen seunit (kwh) dan membekalkannya pada 17 sen seunit, namun pihak IPP menghasilkan elektrik untuk dijual balik kepada TNB pada kos 23 sen seunit.

Ini menyebabkan TNB perlu kenakan caj mahal dengan kadar tidak kurang 30 sen seunit dan akhirnya ditanggung oleh jutaan pengguna. Bayangkanlah untung besar sebanyak 26 sen dibuat pihak IPP yang selamba ‘curi’ elektrik daripada sistem bekalan TNB sendiri!

Jelas Ani lagi, sebenarnya memang tiada rundingan dilakukan dan perjanjian berat sebelah itu menyebabkan 20 juta pengguna pada dekad 1990-an tersebut tiada pilihan apabila mereka terpaksa bayar kenaikan tarif elektrik amat tinggi semasa era diktator Madey.

“Pasukan saya kecewa. EPU hanya beri kami terma dan minta kami untuk bersetuju. Saya kata tidak mungkin!” kata Ani yang dipaksa letak jawatan sejurus kejadian pelik itu. Beliau berpendapat bahawa perjanjian itupun adalah sudah salah dari segi moral.

Berdasarkan laporan tahunan yang dikeluarkan syarikat petroleum milik negara, Petronas pada 2008, pihak IPP dapat subsidi gas berjumlah RM8.1 bilion untuk hasilkan elektrik, manakala TNB pula peroleh hanya RM5.7 bilion.

Subsidi ini menyebabkan kontroversi ekoran lebih 40 peratus daripada lebihan kapasiti yang dijana oleh IPP dan TNB setiap tahun adalah sia-sia kerana Malaysia secara kebetulan tidak memiliki teknologi simpanan bekalan gas.

“Dengan ada klausa ambil-atau-bayar dan 40 peratus rizab berlebihan yang kita ada hari ini, seseorang hanya perlu menghasilkan setengah keupayaan seseorang tetapi perlu dibayar 80 peratus daripada kapasiti yang dipersetujui.

“Syabas EPU – Economic Plundering Unit (unit rampas ekonomi),” sindir Ani. Allahyarham yang berasal dari Sungai Bakap, Pulau Pinang, akhirnya lepaskan jawatan pada 1996 setelah enam tahun berkhidmat penuh dedikasi.

IPP pernah menyebabkan saham TNB jatuh junam daripada 20 sen pada 1993 berkurangan kepada 10 sen setahun kemudian. Ekoran itu, TNB terpaksa menaikkan tarif elektrik untuk mengekalkan margin keuntungan syarikat.

Ani meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada 2014 dalam usia 82 tahun kerana penyakit kanser prostat, dengan meninggalkan balu, Puan Sri Saenah Ahmad dan tiga orang anak selain anak angkat.

Untuk rekod, syarikat IPP yang telah dapat kadar keuntungan berbilion ringgit ialah Genting Sanyen Power Sdn. Bhd, Powertek Berhad, Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. SEV 2nd dan YTL Power Generation Sdn. Bhd.

Juga melibatkan ARL Tenaga Sdn. Bhd., TNB Janamanjung Sdn. Bhd., Teknologi Tenaga Perlis Konsortium Sdn. Bhd., Prai Power Sdn. Bhd., GB3 Sdn. Bhd. dan Tanjung Bin Sdn. Bhd. – Mynewshub.TV

Tiada ulasan: