“Tun mengarut,” kata Siti kepada FMT hari ini.
Beliau menyamakan keputusan itu dengan keputusan membenarkan syarikat perlombongan Australia, Lynas Corp meneruskan operasi di Pahang disebalik bantahan daripada golongan aktivis dan beberapa ahli politik kerajaan.
“Dia cuba mempertahankan Naik seperti dia mempertahankan Lynas. Kedua-duanya sisa toksik,” katanya.
Semalam, Mahathir berkata Putrajaya berhak menolak sebarang tuntutan ekstradisi daripada New Delhi, yang mahu Naik dihantar pulang untuk berdepan dakwaan pengubahan wang melibatkan kira-kira RM115 juta.
Mahathir berkata ia serupa dengan keengganan Australia menghantar pulang Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan membunuh.
“Kita minta Australia ekstradisi Sirul, dan mereka takut kita akan hantarnya ke tali gantung.
“Naik umumnya berasa beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil (di India),” katanya.
Naik didakwa atas tuduhan pengubahan wang tanpa kehadirannya di India bulan lepas. Direktorat Penguatkuasaan India menuduh dia memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta).
Naik menafikan dakwaan-dakwaan tersebut dan berkata dia sedia pulang ke India untuk berdepan pertuduhan, tetapi bimbang dipenjarakan seperti suspek beragama Islam lain yang didapati tidak bersalah oleh mahkamah beberapa tahun kemudian.
Siti mempersoalkan perbandingan dengan Sirul, yang disabit kesalahan membunuh seorang warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kerana Naik belum dibicarakan.
Beliau berkata kengganan Australia menghantar pulang Sirul kerana dia berdepan hukuman mati.
Siti dan 18 individu lain memfailkan saman terhadap kerajaan, menuduhnya melindungi Naik, yang menurut mereka ancaman terhadap Malaysia.
Mahkamah Tinggi membuang saman itu pada Februari tahun lepas.
Sementara itu, aktivis Hindu, Arun Dorasamy berkata tindakan Mahathir mengumumkan Malaysia akan menolak permintaan ekstradisi daripada India adalah terlalu awal.“India belum lagi capai suatu keputusan tetapi kita sudah melatah,” katanya, yang juga merupakan penasihat Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia.
Mahkamah di Mumbai, India dijangka akan membuat keputusan pada 19 Jun ini sama ada waran tangkap perlu dikeluarkan terhadap Naik. India mungkin meminta bantuan Interpol untuk menahannya dan membawanya pulang untuk dibicarakan.
Arun berkata dia mungkin menganjurkan suatu tunjuk perasaan di luar Kementerian Dalam Negeri jika Malaysia enggan menghantar pulang Naik sekiranya mahkamah di India memutuskan waran tangkap perlu dikeluarkan terhadap penceramah itu.
“Kita akan tentukan selepas 19 Jun ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan