HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Jun 2019

Ramli Nor gesa tubuh jawatankuasa siasat punca musibah Orang Asli Gua Musang




PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat berketurunan Orang Asli gesa kerajaan menubuhkan suatu jawatankuasa khas bagi menyiasat punca musibah yang menimpa Orang Asli Batek di Gua Musang, yang sudah meragut 14 nyawa sejak sebulan lalu.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata sebuah jawatankuasa yang dianggotai profesional bidang-bidang berkaitan harus diadakan di peringkat kementerian atau Parlimen, “untuk mengenal pasti punca musibah ini serta membuat laporan dan cadangan penyelesaian”.

Beliau juga akan menuntut jawapan daripada Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Waytha Moorthy dan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar apabila Dewan Rakyat bersidang pada Julai.

“Saya telah merangkakan beberapa soalan dan cadangan yang akan saya bawa ke persidangan Parlimen yang wajib dijawab oleh menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Jawapan menteri berkaitan nanti dapat menggambarkan sama ada ia penyedap untuk didengar, jawapan mengelak atau benarkah kerajaan pusat ambil peduli kesejahteraan Orang Asli Semenanjung.”

Ramli pada ketika ini tidak mahu menuding jari pada mana-mana pihak tanpa siasatan dan kajian saintifik yang mengesahkan sebab dan punca penyakit dan kematian Orang Asli di situ.

Beliau juga mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap pengusaha-pengusaha lombong sekiranya kematian di Gua Musang itu disebabkan pencemaran air oleh bahan kimia yang digunakan bagi aktiviti perlombongan.

“Nyawa manusia bukan untuk mainan politik,” katanya, dan menggesa kementerian bertanggungjawab mempercepatkan siasatan mereka.

Awal hari ini, Menteri Dzulkefly Ahmad mengumumkan hasil bedah siasat ke atas 2 mayat Orang Asli dari Kuala Koh mengesahkan kematian bukan disebabkan bahan kimia.

Kementerian sedang menunggu hasil ujian untuk mengenal pasti jenis mikroorganisma yang mengakibatkan kematian 2 Orang Asli itu, dan keputusan ujian sampel air Jabatan Alam Sekitar ke atas sumber air penduduk kampung Orang Asli itu.

Beliau berkata seramai 99 Orang Asli sedang menerima rawatan, dan 3 daripada mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana jangkitan pada saluran pernafasan.

Tiada ulasan: