HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Jun 2019

MTUC dakwa undang-undang buruh Malaysia sudah lapuk

MTUC mencadangkan peningkatan had gaji dari RM2,000 kepada 
RM10,000 untuk membolehkan lebih ramai pekerja dilindungi 
Akta Kerja 1955.
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyeru penambahbaikan kemudahan dan ganjaran kepada pekerja, mengatakan undang-undang buruh di Malaysia sudah lapuk kerana kebanyakannya digubal pada tahun 50-an dan 60-an.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata hanya beberapa pindaan dilakukan pentadbiran sebelum ini dan menggesa kerajaan Pakatan Harapan mengkaji semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 selaras dengan janji manifesto gabungan itu pada pilihan raya umum lalu.

“Persekitaran dunia sudah berubah dengan tumpuan utama sekarang adalah nilai kemanusiaan, maruah insan dan hak pekerja.

“Justeru pembaharuan undang-undang pekerja di Malaysia yang sudah lama tertunda, perlu disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Solomon berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan komprehensif kepada kerajaan PH melibatkan kebajikan dan hak pekerja swasta iaitu elaun kos sara hidup (Cola) bulanan RM300, cuti bersalin 60 hari dinaikkan kepada 98 hari, cuti bergaji 30 hari untuk menunaikan Haji dan elaun perumahan untuk pekerja di bandar.

Antara lain, MTUC juga mencadangkan peningkatan had gaji dari RM2,000 kepada RM10,000 untuk membolehkan lebih ramai pekerja dilindungi Akta Kerja 1955; cuti 7 hari untuk suami ketika isteri bersalin; pemeriksaan kesihatan dan rawatan ditanggung majikan dan 15 minit diberikan di akhir setiap 2 jam kerja untuk pekerja melakukan senaman ringan.

Selain itu, MTUC mencadangkan majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di premis kerja yang mempunyai lebih 100 kakitangan; menyediakan bilik menyusu; menambah cuti sakit pesakit luar daripada 15 hari kepada 30 hari dan 60 hari untuk rawatan di hospital serta elaun perumahan bulanan RM300 untuk pekerja di kawasan bandar.

Solomon berkata hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi bukan hanya memerlukan pekerja berkualiti tetapi majikan yang berkualiti.

“MTUC yakin kerajaan dan majikan akan menimbang serius cadangan-cadangan kami ini.

“Kami sudah menunggu 60 tahun untuk pembaharuan undang-undang buruh di negara ini dilaksanakan.

“Kini peluang terbaik untuk menjayakannya. Justeru biar kita semua bekerjasama untuk menjadikan matlamat ini satu realiti,” katanya.

Tiada ulasan: