HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Jun 2019

Kit Siang: Lantikan Latheefa betul ikut undang-undang tapi secara politiknya salah


Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
PETALING JAYA: Pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad adalah betul dari segi undang-undang tetapi secara politiknya salah, kata Lim Kit Siang.

Pemimpin veteran DAP yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata pelantikan itu adalah hak prerogatif Mahathir dan ia mengikut perlembagaan di bawah aturan undang-undang masa kini.
Katanya, pelantikan itu tidak selaras dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Mereka yang memprotes pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM kerana melanggar janji manifesto PRU14 tidak salah.
“Saya yakin jika Latheefa bukan orang yang terlibat dalam kontroversi sekarang, dia juga akan berada di barisan depan mengkritik pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM dengan cara yang sama seperti pelantikannya sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pelantikan penyandang sebelum Latheefa, Mohd Shukri Abdull pada 18 Mei 2018 juga melanggar janji manifesto itu.

Bagaimanapun, beliau berkata pindaan perlembagaan diperlukan untuk melaksanakan janji manifesto PH yang belum dilaksanakan.

Katanya, ini mewujudkan situasi di mana Mahathir adalah “betul dari segi perlembagaan tetapi secara politiknya salah” dalam melaksanakan prerogatifnya dalam melantik Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Lim berkata pindaan perlembagaan tidak mudah dan dipersoalkan sama ada pemimpin dan parti pembangkang akan menyokong usaha PH untuk melaksanakan janji ke-14 dalam manifesto PH.

Lim menambah terdapat pengajaran yang boleh dipelajari daripada pelantikan itu, termasuk kepentingan sentiasa membina kepercayaan dalam kalangan pemimpin PH.

Selain itu, Lim berkata keperluan untuk pemimpin PH untuk mengesahkan komitmen kepada manifesto PH sebagai Malaysia Baru.

“Kami mahu visi Malaysia Baru oleh Pakatan Harapan berjaya, yang bermakna kami mahu Latheefa berjaya dalam menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah,” katanya.

Latheefa, seorang peguam hak asasi manusia, mengambil alih kepimpinan SPRM pada 1 Jun lepas, menggantikan Shukri yang dibenarkan menamatkan kontrak lebih awal daripada tarikh asal pada 17 Mei 2020.

Pelantikannya menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk pihak yang mempersoalkan cara bagaimana ia dibuat dan sama ada Latheefa boleh bersikap adil dalam tugasnya. Beliau juga menarik diri sebagai ahli PKR.

Tiada ulasan: