HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Jun 2019

PKR Johor gesa hentikan petisyen gesa Latheefa letak jawatan

Mohamad Fadli
Pengerusi PKR Johor Hassan Abdul Karim.
PETALING JAYA: PKR Johor hari ini menggesa sebarang kempen atau petisyen terhadap Latheefa Koya supaya meletakkan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihentikan.

Pengerusinya Hassan Abdul Karim berkata, sebaliknya Latheefa perlu diberi ruang dan peluang untuk menjalankan tugasnya.

“Jangan kerana satu pelantikan jawatan ini akan membawa perpecahan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah umumkan keputusannya muktamad dalam soal pelantikan Latheefa. Sama ada suka atau tidak, kita perlu terima keputusan perdana menteri itu,” katanya.
Hari ini, ahli pimpinan pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa orang ramai menandatangani satu petisyen mendesak Latheefa meletak jawatan dalam SPRM.

Dalam satu pesanan di Twitter, Nik Nazmi berkata, PH memberi komitmen bahawa pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM mesti disahkan oleh jawatankuasa khas Parlimen.

Minggu lepas, Mahathir mengakui tidak membincangkan pelantikan Latheefa dengan Kabinet.

Ahli Parlimen Wangsa Maju dan bendahari agung PKR, Dr Tan Yee Kew turut menandatangani petisyen sama atas alasan pelantikan tersebut “jelas menyimpang daripada prinsip dan semangat reformasi institusi”.

Sejak dimulakan pada 6 Jun, petisyen tersebut, yang dicipta oleh sebuah akaun bernama Malaysia Baharu, mendapat 5,400 tanda tangan.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga ahli Parlimen Pasir Gudang berkata perbezaan pandangan dan pendekatan antara Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam isu pelantikan Latheefa menunjukkan wujud demokrasi yang segar dalam PH.

Beliau berkata tradisi demokrasi itu akan menjadi semak dan imbang supaya Mahathir tidak akan menjadi autokrasi dan Kabinet tidak menjadi “rubber stamp” atau lebih parah jika menjadi oligarki.

“Dari segi moral politik, kenyataan Anwar meminta penjelasan dari Mahathir tentang pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM adalah betul berdasarkan janji manifesto PH.

“Dari segi undang-undang, keputusan Mahathir melantik Latheefa tanpa merujuk kepada Kabinet dan Parlimen adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang undang yang sedia ada,” katanya.

Hassan menambah Latheefa mempunyai merit untuk memikul tanggungjawab memerangi rasuah di negara ini selagi beliau menjunjung amanah untuk bertindak tegas tanpa takut dan pilih kasih.

Beliau percaya teguran dan pandangan Anwar dalam isu itu akan menyedarkan Mahathir supaya merujuk kepada Kabinet dan Majlis Kepimpinan Tertinggi PH dalam membuat keputusan keputusan besar negara pada masa masa akan datang.“Kepimpinan PH perlu merapatkan saf kepimpinan. Dialog dan perbincangan mesti terus diadakan.

“Agenda reformasi dalam institusi negara perlu diteruskan. Perpecahan perlu dielakkan sesama gabungan PH.

“Jadikan episod perlantikan Latheefa sebagai satu pengajaran dan teladan. PH perlu bergerak ke depan dengan lebih bersatu,” katanya.

Tiada ulasan: